Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong

KUALA LUMPUR – Kerana bertanyakan soal anak dan menantu kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mencelah semasa sesi perbahasan Belanjawan 2024, Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong diarah keluar Dewan Rakyat, hari ini.

Pertanyaan wakil rakyat DAP itu menyebabkan sidang Dewan Rakyat menjadi kecoh dan tertangguh kira-kira 21 minit.

Kekecohan itu timbul apabila pertanyaan Poay Tiong di luar konteks perbahasan rancangan ekonomi negara yang dibahaskan ketua-ketua parti, hari ini.

“Apa pandangan Pagoh semasa menjadi Perdana Menteri menandatangani dengan Bernas untuk monopoli beras 10 tahun, bukankah keputusan itu membebankan rakyat kerana kita terikat dengan perjanjian tersebut.

“Sehingga ke hari ini kita menghadapi masalah beras. Pagoh ragu dengan subsidi yang kita dapat jimat itu sampai kepada rakyat. Kenapa Pagoh rasa ragu?

“Adakah sewaktu Pagoh jadi perdana menteri itu, Pagoh tidak berlaku secara berhemah sehingga anak menantu pergi cabut keluar negara, sekarang tak boleh balik lagi.

“Kenapa anak menantu tak boleh balik untuk menghadapi siasatan daripada SPRM, sampai hari ini tak boleh balik lagi,” katanya Poay Tiong ketika mencelah semasa sesi perbahasan Belanjawan 2024, di Parlimen, hari ini.

Susulan pertanyaan itu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (Bersatu-Machang) mendesak agar Poay Tiong menarik balik pertanyaan itu kerana di luar konteks perbahasan itu.

“Tarik balik, apa kaitan, speaker, suruh dia tarik,” katanya.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Alice Lau Kiong bersetuju dengan cadangan Wan Ahmad Fayhsal sambil mengarahkan ahli Parlimen Kota Melaka itu untuk menarik balik kenyataan itu.

“Itu sudah luar keputusan, Kota Melaka tarik balik! Saya arahkan Kota Melaka untuk tarik balik.

“Saya arahkan Kota Melaka tarik balik apa-apa tentang menantu, ini sudah keluar tajuk, yang lain sila duduk dulu, jangan kacau

“Sila duduk kalau tidak saya rehatkan Kampar,” katanya.

Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong diarah keluar Dewan Rakyat selepas bertanyakan anak menantu keberadaan Tan Sri Muhyiddin Yassin

Kesal dengan kenyataan itu, Muhyiddin turut meminta ahli Parlimen Kota Melaka itu untuk menarik balik kenyataan yang mengaitkan dengan anak dan menantu bekas Perdana Menteri itu.

“Perkara yang akhir itu, sebut menantu saya itu ada niat jahat, pasal perkara ini yang kita bahas bukan soal itu, saya minta supaya ditarik balik kenyataan yang telah disebutkan tadi,” katanya.

Sementara itu, RSN Rayer (DAP-Jelutong) bangkit mencelah mendesak Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau) menarik balik perkataan ‘bangsat’ didakwa ditujukan kepada Ahli Parlimen Kota Melaka kerana isu anak menantu Muhyidddin

“Sebelum itu, Timbalan Speaker saya guna Peraturan Dewan 36 (4) bahasa kurang sopan dan biadap, saya minta Yang Berhormat Arau tarik balik perkataan bangsat yang dihalakan terhadap Kota Melaka.

“Arau mengeluarkan perkataan bangsat terhadap Kota Melaka, saya minta perkataan itu ditarik balik,” katanya.

Bagaimanapun Shahidan mendakwa beliau menyebut perkataan itu secara umum dan menafikan ia ditujukan kepada wakil rakyat DAP itu.

“Saya tidak menuju kepada sesiapa, ini kita menyebut secara umum, saya tak kata Kota Melaka apa, saya tak sebut, secara umum, lepas perasaan geram,” katanya.

Kecohan berterusan menyebabkan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee bangkit dan mendakwa Ahli Parlimen Kota Melaka itu melanggar Peraturan Mesyuarat 36(6) dan 36(9).

“Yang Berhormat Kota Melaka dalam dewan ini, ketika saya dalam dewan ini, yang melanggar Peraturan Mesyuarat 36(9), dua kali, kerana pada ketika itu pertama kali Kota Melaka merujuk kepada Pagoh yang melanggar Peraturan 36(9) merujuk kepada seseorang.

“Speaker tidak mengambil tindakan memberi amaran dan menarik balik perkataan yang digunakan.

“Hari ini kali kedua dan saya setuju perkara ini diselesaikan Kota Melaka diminta untuk tarik balik perkataan kepada Pagoh,” katanya.

Susulan desakan itu, Poay Tiong mempersoal atas peraturan yang mana satu menghalang bercakap soal siasatan pihak berkuasa khususnya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap anak dan menantu Muhyiddin.

“Bawah peraturan mana saya tak boleh bercakap perkara itu (anak menantu Muhyiddin)

“Persidangan lepas, saya ada bangkit anak menantu Pagoh ke luar negara, masa itu saya diminta untuk tarik balik oleh Timbalan Speaker.

“Pada waktu tersebut masih belum lagi SPRM mengeluarkan kenyataan (tentang siasatan),” katanya lagi. – MalaysiaGazette