ALOR GAJAH – Malang buat seorang jururawat apabila wang pinjaman bank berjumlah RM125,000 lesap diberikan kepada sindiket penipuan ‘love scam’ yang dikenali menerusi aplikasi TikTok.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, kejadian bermula apabila mangsa yang juga ibu tunggal berusia 30-an berkenalan dengan suspek ‘Nor Azman Umar’ pada 29 September lalu.
“Selepas sembilan hari berkenalan, suspek memberitahu pengadu yang dia akan menerima hadiah kejutan sebagai tanda persahabatan mereka.
“Pengadu kemudian menerima panggilan kononnya daripada pihak kurier pada 8 Oktober menyatakan ada bungkusan kotak yang dikirim oleh kenalannya itu bernama Azman,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Arshad berkata, untuk menerima barangan berharga itu, pengadu bagaimanapun diarah untuk membuat pelbagai pembayaran pelepasan barangan seperti kos guaman, duti stem, cagaran dan kastam.
“Sepanjang tempoh antara 8 Oktober hingga 15 Oktober, pengadu telah membuat pinjaman peribadi daripada bank sebelum melakukan 12 transaksi pembayaran berperingkat berjumlah RM125,000 ke dalam empat akaun bank suspek yang berbeza.
“Namun selepas itu, pengadu masih tidak menerima bungkusan yang dijanjikan malah diminta untuk membuat bayaran tambahan sebelum menyedari dirinya menjadi mangsa penipuan,” katanya.
Tambahnya, jururawat itu kemudian membuat laporan di Balai Polis Alor Gajah semalam dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. – MalaysiaGazette