GEORGE TOWN – Polis telah menyerahkan kertas siasatan kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya (DPP) bagi cadangan menuduh wanita yang memandu kereta BMW 5 Series secara melawan arus sebelum merempuh sebuah kereta lain di Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu, di sini, pada 2 Oktober lalu.
Ketua Polis Pulau Pinang, Khaw Kok Chin berkata, pihaknya kini sedang menunggu maklum balas daripada DPP untuk tindakan lanjut.
“Kita telah rakam keterangan pegawai bank dan pemandu kereta Perodua Axia yang dirempuh dalam kejadian itu selepas masing-masing dibenarkan keluar wad baru-baru ini.
“Malah, analisa ujian sampel yang dihantar ke Jabatan Kimia juga mendapati wanita itu bebas daripada pengaruh alkohol.
“Wanita itu dibebaskan dengan jaminan polis sementara kita mendapatkan arahan lanjut daripada DPP untuk mendakwanya atas kesalahan memandu secara merbahaya dan melulu,” katanya, hari ini.
Terdahulu, Kok Chin ditemui pada Majlis Pemakaian Pangkat di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini.
Pada majlis itu, seramai tujuh pegawai polis pelbagai jabatan di IPK negeri dinaikkan pangkat daripada Asisten Superintendan (ASP) ke Deputi Superintendan (DSP) manakala 33 Inspektor kini berpangkat ASP.
Media pada 2 Oktober lalu melaporkan polis sudah mengenal pasti pemandu kereta BMW 5 Series yang memandu melawan arus sebelum merempuh sebuah kereta di Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu berhampiran susur keluar Jambatan Pulau Pinang.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, hasil siasatan mendapati kereta itu dipandu wanita tempatan berusia 41 tahun secara melawan arus dari arah pusat bandar sebelum merempuh Perodua Bezza dipandu lelaki berusia 22 tahun.
“Bagaimanapun, hasil rakaman keterangan wanita berkenaan mendakwa dia tersalah jalan dan panik memasuki laluan bertentangan selepas menjamu selera di sebuah restoran di Persiaran Karpal Singh, di sini,” katanya. – MalaysiaGazette