Gaza kini tinggal puing dan debu selepas dibom Israel.-Foto media sosial

KUALA LUMPUR – Kerajaan Malaysia perlu segera menghantar notis kepada Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) agar badan itu mengadakan sidang tergempar dan membawa usul bagi menubuhkan tentera penyelamat OIC.

Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Dr Ibrahim Ali berkata, tindakan segera patut diambil untuk memasuki Gaza bagi menyelamatkan rakyat Palestin dari terus menjadi mangsa pengeboman dan senjata kimia pihak Zionis Israel.

“Tentera OIC bukanlah bertujuan untuk berperang dengan Zionis Israel atau sekutunya, tetapi untuk menyelamatkan rakyat dan bumi Palestin,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya hari ini.

Menurut Ibrahim, setiap anggota OIC boleh menghantar 1,000 orang tentera setiap negara dengan aset-aset yang difikirkan perlu untuk menyelamatkan rakyat Palestin dan mempertahankan diri dari apa jua serangan.

“Jika ada sebarang negara anggota OIC yang tidak mahu ikut serta, tinggalkan mereka itu. Yang utama, ialah bagi yang sanggup berjihad di jalan Allah S.W.T,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ibrahim mepersoalkan peranan OIC tatkala, Hospital Al Shifa di Gaza dibom oleh tentera Israel hingga menyebabkan lebih 500 orang awam terbunuh termasuk kanak-kanak, wanita dan warga emas.

“Apakah pembunuhan kejam terhadap rakyat Palestin tidak boleh dihentikan segera?

“Di manakah maruah negara-negara OIC yang masih gagal melakukan sebarang tindakan berkesan?,” soal beliau.

Ibrahim turut merayu agar rakyat Malaysia sama-sama berdoa semoga Allah permudahkan urusan cadangan penubuhan tentera OIC untuk menyelamatkan rakyat Palestin dan Masjid Al Aqsa.

Sementara itu, Ibrahim berharap agar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat memainkan peranan dan membuktikan bahawa beliau sememangnya wira dan pemimpin yang berani kehadapan dan boleh menjadi jaguh bagi negara Islam yang sebenar. – MalaysiaGazette