Lelaki tempatan berusia 55 tahun tampar dua pemuda di tempat terbuka sehingga cedera di mulut di Setapak akan didakwa di mahkamah Pagi Jumaat ini.

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki yang disyaki menampar dua individu di Taman Danau Kota, Setapak, di sini, sehingga mengalami kecederaan ditahan polis pada Isnin lalu

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, pihaknya menerima laporan mengenai insiden itu pada jam 6.42 petang Sabtu lalu.

“Suspek juga telah merampas dan membaling telefon bimbit milik rakan pengadu sehingga mengalami kerosakan selepas menyedari kejadian dirakam.

“Akibat serangan itu, mangsa telah mengalami kecederaan luka di bahagian mulut dan di bahagian leher manakala rakan mangsa mengalami luka di bahagian mulut sebelum kejadian itu dikesan tular di media sosial Facebook,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Ashari, bertindak di atas laporan polis itu, sepasukan pegawai serta anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis daerah (IPD) Wangsa Maju berjaya menjejaki dan menahan seorang lelaki berusia 55 tahun yang disyaki terlibat dalam insiden itu di Jalan Prima Setapak 4, Setapak.

Tambah beliau, siasatan mendapati kejadian berpunca perselisihan faham.

Ashari berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan dengan sengaja menyebabkan cedera yang membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Katanya, kes juga disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat yang boleh dipenjara tidak lebih dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.

Jelas beliau, pihaknya telah merujuk kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya hari ini dan menerima arahan untuk menuduh suspek esok di Mahkamah Kuala Lumpur. – MalaysiaGazette