KUALA LUMPUR – Malaysia akan terus memperkukuh hubungan dan meningkatkan perdagangan dua hala dengan Ghana ke tahap baharu dengan mempelbagaikan portfolio pelaburan merangkumi bidang pembuatan, teknologi maklumat dan komunikasi, kesihatan dan pelancongan.
Kesepakatan tersebut dicapai melalui Forum Perdagangan Malaysia dan Ghana yang dihadiri lebih 100 delegasi dari kedua-dua buah negara di Kuala Lumpur baru-baru ini yang berlangsung selama empat hari.
Pengurus Bahagian Tengah, Barat, Asia & Afrika Selatan Bahagian Promosi Eksport & Akses Pasaran, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Muhd Hairi Zainal Abidin berkata, Ghana antara negara dagang yang penting dan eskport terbesar negara ketika ini.
Jelas beliau, bermula tahun 1995 hingga 2021, eksport Ghana ke Malaysia telah meningkatkan kadar tahunan sebanyak 22.2 peratus daripada USD2.31 juta kepada USD425 juta.
Tambahnya, Malaysia pula mengeksport USD570 juta ke Ghana pada tahun yang sama menunjukkan hubungan ekonomi yang semakin meningkat antara kedua-dua negara.
“Produk utama yang dieksport dari Malaysia ke Ghana termasuk petroleum dan minyak kelapa sawit. Kita melihat Ghana sebagai rakan dagangan penting yang mana sebahagian besarnya eksport Malaysia ke sana adalah minyak sawit serta produk petroleum.
“Justeru, kita tidak sabar untuk menerokai peluang lebih banyak eksport Malaysia ke Ghana terutamanya dalam sektor seperti pemprosesan makanan, produk kimia serta peralatan mesin kerana banyak lagi sektor yang boleh ditawarkan kepada rakan kongsi kami di sana,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Ketua Delegasi Ghana & Timbalan Menteri Luar Negeri Ghana, Hon. Kwaku Ampratwum – Sarpong berkata, sudah tiba masanya, kedua belah pihak merancang meningkatkan hubungan dua hala dalam perdagangan dan pelaburan.
“Ini adalah masa yang baik untuk kita melibatkan diri dengan rakan niaga di sini dan melihat cara terbaik kerjasama boleh dijalinkan dalam bidang perniagaan dan pelaburan.
“Kami datang ke sini untuk mencuba dan memanfaatkan peluang yang wujud di Malaysia dan melihat cara terbaik kita boleh menarik pelaburan daripada ketua-ketua industri di Malaysia.
“Di samping untuk mengeratkan hubungan antara Ghana dan Malaysia, kita mungkin berjauhan tetapi pada zaman ini jarak bukanlah masalah utama,” ujarnya.
Sementara itu, pada forum sama, Dewan Perniagaan dan Perindustrian Antarabangsa Malaysia (MICCI) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Pusat Promosi Pelaburan Ghana untuk membuka pintu kepada pelabur dan usahawan dari kedua -dua belah negara mengembangkan perniagaan.
MICCI diwakili oleh naib presidennya, Datuk Azman Shah Mohd Yusof manakala Ghana diwakili Pengarah Bahagian Perkhidmatan Pelabur, Edward Ashong Lartey.
Azman berkata, sebagai sebuah NGO yang menjurus kepada pengembangan pelaburan antara Malaysia dan negara luar , forum B2B yang berlangsung petunjuk prestasi utama (KPI) kepada negara dalam usaha menarik pelaburan negara luar.
“MoU hari ini selari dengan peranan MICCI yang membantu syarikat-syarikat antarabangsa untuk datang ke Malaysia, melabur dan membolehkan mereka beroperasi, berhubung dengan agensi kerajaan untuk merangsang ekonomi perdagangan dan pelaburan dua hala.
“Begitu juga sebaliknya, membuka peluang syarikat tempatan ke peringkat antarabangsa kerana masih banyak peluang kerjasama dalam perlbagai sektor, misalnya Ghana terkenal dengan hasil koko manakala Malaysia mempunyai kepakaran perkhidmatan, pelabuhan dan perkapalan.
“Pada masa akan datang usahasama ini mungkin mendorong Ghana menjadi pintu masuk esport negara ke benua Afrika,” ujarnya,” katanya. – MalaysiaGazette