KUALA LUMPUR – Kuala Lumpur City FC menyokong Malaysia menjadi tuan rumah bagi perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 antara Palestin dan Australia.
Perlawanan tersebut dijadualkan berlangsung pada 21 November idi Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim berkata, keputusan itu dicapai selepas Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) menolak permintaan Palestin untuk bermain di Algeria.
Sementara itu, Pengarah Rinani Group Berhad (Rinani) yang memiliki pegangan majoriti KLCFC, Azri Azerai berkata, beliau berbangga kerana Malaysia menjadi tuan rumah acara antarabangsa ini.
“Kami berharap dapat menyaksikan acara yang berjaya yang bukan sahaja melibatkan peminat bola sepak tetapi juga membantu mengukuhkan hubungan diplomatik dan budaya antara negara,” ujarnya.
Sebelum ini, Malaysia menjadi gelanggang berkecuali untuk perlawanan play-off pusingan Kelayakan Piala Dunia 2018 antara Syria dan Australia di Stadium Hang Jebat, Melaka, pada Oktober 2017. – MalaysiaGazette