Onn Hafiz ( tengah ) melihat barang harga keperluan di Jualan Rahmah yang diadakan di perkarangan Hospital Sultan Ismail, hari ini.

JOHOR BAHRU – Datuk Onn Hafiz Ghazi menyatakan hasrat kerajaan negeri komited bagi menjalinkan  kerjasama dengan kerajaan pusat untuk menjadikan Johor sebagai food bank negara demi menangani isu keterjaminan makanan.

Untuk itu, pihaknya akan mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu dalam masa terdekat, kata Menteri Besar Johor.

Beliau berkata, dalam keadaan perubahan iklim ketika ini, perancangan bagi menangani masalah bekalan makanan adalah amat penting.

“Bekalan hari ini kita terus memantau supaya ia terus mencukupi tetapi dengan subsidi dan bantuan  yang disalurkan saya fikir bahawa ia sedikit sebanyak meringankan rakyat Johor secara keseluruhannhya.

“Pada masa sama saya menjunjung setinggi aksih kepada Sultan Johor yang mengurniakan 10, 000 kampit beras.

“Insya-Allah dalam masa seminggu, 10,000 kampit akan disalurkan kepada yang memerlukan jadi dari raja, ahli Parlimen dan ADUN terus turun padang di Johor kepada mereka yang memerlukan,” katanya pada sidang media sempena Program Jualan Rahmah di Parkir Awam Hospital Sultan Ismail (HSI) hari ini.

Program Jualan Rahmah, menurut Onn Hafiz diadakan di 16 lokasi dan akan diadakan secara berterusan merangkumi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) mahu pun Parlimen.

“Kita memahami kos sara hidup harga barang naik membabitkan semua rakyat dan pelbagai usaha dijalankan bagi memastikan kesusahan rakyat akan terus terbela,” ujarnya.

Beliau berkata, kerjasama dengan rakan strategik iaitu pemain industri juga amat membanggakan apabila mereka membantu dalam memberikan potongan harga ke atas barangan jualan.-MalaysiaGazette