Khairy Jamaluddin dan Mukhriz Mahathir antara pemimpin yang turut turun bersama ratusan orang ramai sebagai tanda solidariti kepada Palastin yang dizalimi Rejim Zionis Israel di kawasan Kedutaan Amerika Syarikat Jalan Tun Razak hari ini.

KUALA LUMPUR – Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin hari ini menyertai perarakan bersama ratusan orang ke Kedutaan Amerika Syarikat (AS).

Ia dilakukan sebagai menyatakan bantahan terhadap serangan rejim zionis Israel ke atas penduduk di Palestin.

Mereka berarak dari Masjid Tabung Haji di sini sejurus Solat Jumaat bersama ahli-ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang turut menyertai himpunan dengan mendukung plakad mengecam Israel dan AS selain mendesak gencatan senjata dan menghentikan serangan ke atas Gaza.

Mukhriz dan Khairy Jamaluddin kemudian diiringi beberapa pegawai polis telah menyerahkan memorandum kepada wakil kedutaan AS sebagai membantah sekeras-kerasnya serangan Israel terhadap penduduk Palestin di Gaza.

Bercakap kepada pemberita, Mukhriz bersama KJ telah menyerahkan memorandum sebagai mendesak kerajaan AS selaku kuasa besar dunia menghentikan segera sokongan serta sebarang bantuan kepada Israel berkuatkuasa serta-merta.

“Kami tadi telah selesai menyerahkan memorandum kepada Kedutaan AS sebagai tindakan mendesak negara itu menarik balik segera sokongan terhadap Israel.

“Sokongan secara langsung AS terhadap Israel serta tindakan pembunuhan secara tidak berperikemanusiaan itu adalah satu bentuk tindakan bersubahat dan sokong penjenayah perang iaitu Israel.

“Penggunaan peluru berpandu dan pesawat juang buatan AS untuk menyerang penduduk Palestin adalah suatu jenayah perang yang dikecam teruk oleh komuniti dunia yang menuntut keamanan,’ katanya kepada pemberita selepas himpunan dan serahan memorandum itu di sini hari ini.

Tambah Mukhriz, dalam memorandum itu, pihaknya mendesak pendudukan haram oleh Israel di Palestin dihentikan selain membebaskan Palestin daripada pengganas Israel.

Selain itu, katanya, mereka turut menuntut AS mengisytiharkan gencatan senjata di Palestin dan menyegerakan bekalan perubatan dan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin.

“Malah kita juga mahu melucutkan keanggotaan Israel dari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu selain mewujudkan penguatkuasaan undang-undang global yang melarang penghapusan etnik selain reformasi PBB termasuk Majlis Keselamatan PBB,” ujarnya.

Tegasnya, walaupun AS menafikan Israel telah mengebom hospital di Gaza sehingga mengorbankan ratusan nyawa, Malaysia masih lantang menyokong Palestin.

“Kalau AS tidak sokong, maka Israel tidak berani untuk membuat pembunuhan beramai-ramai dan penghapusan etnik sekarang di Gaza. Oleh demikian AS mesti halang Israel hentikan segera segala perbuatan jenayahnya,” tegasnya.

Dalam pada itu, Khairy pula menjelaskan sokongan kuasa besar AS kepada Israel perlu dihentikan segera bagi memastikan Palestin ke arah negara yang bebas, berdaulat dan bermaruah.

“Kita juga mahu Presiden Israel, Benjamin Netanyahu diheret ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa sebagai pengganas untuk tindakan lanjut,” ujarnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast