Menerusi satu perkongsian di laman Instagram, Aniq berkata, tuduhan tersebut dilemparkan untuk merosakkan reputasi dan nama baiknya.
“Saya sedia maklum dengan apa yang sedang tular di media sosial beberapa hari ini. Saya juga ingin menyatakan bahawa dakwaan yang dilemparkan adalah satu tindakan yang berniat jahat untuk merosakkan reputasi dan nama baik saya,” tulisnya.
Pelakon berumur 23 tahun itu juga menyatakan dia sudah berhubung dengan peguamnya bagi mencari jalan penyelesaian untuk isu ini.
Selain daripada itu, aktor itu juga berkata, dia akan mengambil tindakan untuk menyaman pihak yang melemparkan fitnah terhadap dirinya.
“Saya telahpun mengarahkan peguam saya untuk mengambil tindakan sewajarnya untuk melindungi hak dan menjaga nama baik saya dan keluarga, termasuklah memulakan tindakan saman,” katanya.
Aniq juga enggan mengulas lanjut bagi mengelak proses undang-undang terjejas dan menyatakan dia akan membuat laporan polis dalam masa terdekat ini.
“Atas nasihat peguam saya, saya tak dapat beri komen lanjut kerana ia akan menjejaskan proses undang-undang. Saya juga akan membuat laporan polis dalam masa terdekat. Terima kasih,” ujarnya.
Baru-baru ini, tular di aplikasi TikTok seorang wanita mendakwa Aniq telah menghamilkannya dan tidak mahu bertanggungjawab. – MalaysiaGazette