BUTTERWORTH – Seorang jurugegas (runner) sebuah firma guaman dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas enam pertuduhan memperdayakan enam individu membabitkan tawaran mendapatkan rumah lelong di Seberang Perai Utara antara Februari hingga Ogos lalu.
Tertuduh, Nazrin Nasir Khan, 29, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan yang dibacakan secara berasingan dihadapan Majistret Siti Zulaikha Nordin.
Mengikut pertuduhan, lelaki yang masih bujang itu didakwa telah memperdayakan enam individu dengan menawarkan pertolongan mendapatkan rumah lelong.
Tindakan itu telah mendorong kesemua mangsa menyerahkan wang menerusi transaksi bank melibat jumlah keseluruhan kerugian bernilai RM126,000.
Kesalahan itu dilakukan tertuduh antara 13 Februari sehingga 21 Ogos di beberapa lokasi sekitar Butterworth.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara antara setahun hingga 10 tahun, sebatan dan denda.
Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurameera Shahrul Azrin mencadangkan jaminan RM8,000 bagi setiap pertuduhan.
Bagaimanapun, tertuduh merayu jaminan rendah alasan perlu menyara ibu serta empat adiknya.
Majistret Siti Zulaikha kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM25,000 bagi kesemua enam pertuduhan.
Mahkamah juga menetapkan 20 Disember depan sebagai tarikh serahan dokumen dan lantikan peguam. – MalaysiaGazette