Stesen radio Suria FM dan ERA bakal bersiaran secara serentak di kedua-dua frekuensi menerusi gabungan segmen pagi 'Morning Morning Suria' dan '3 Pagi ERA' pada Isnin ini bermula pukul 6 pagi.

KUALA LUMPUR – Buat julung kalinya, dua stesen radio iaitu Suria FM dan ERA bakal bersiaran secara serentak di kedua-dua frekuensi menerusi gabungan segmen pagi, Morning Morning Suria dan 3 Pagi ERA pada Isnin depan bermula pukul 6 hingga 10 pagi.

Diinspirasikan oleh CelcomDigi, kedua-dua stesen ini akan disatukan melalui penjenamaan ‘ERA SURIA, Di Sini Segalanya Terkini’ yang menjanjikan hiburan ‘radio tanpa batas’ dengan menghiburkan para pendengar melalui gandingan hebat dari barisan penyampai seperti Ajak, Shuib, Suraya, Nabil, Azad dan Radin.

Selain mendengar celoteh dari barisan penyampai, pendengar juga bakal dihiburkan dengan pelbagai topik menarik dan pilihan lagu bertemakan duet yang bakal dimainkan secara serentak dari kedua stesen.

Menurut Pengurus Besar Suria FM, Roslinda Abd Majid atau DJ Lin, wewakili Suria FM, pihaknya mengalu-alukan dan menyambut baik jalinan kerjasama bersama pihak Astro sekaligus sejarah baru akan tercipta dalam industri radio tanah air menerusi jalinan kerjasama antara radio Suria dan ERA ini.

“Sebagai sebuah stesen radio swasta sememangnya kami bersaing dari segi ranking dan jumlah pendengar tetapi kerjasama ini merupakan simbolik untuk memupuk semangat silaturahim demi melihat industri radio terus berkembang secara sihat.

“Diharapkan jalinan sebegini dapat membuka pintu ruang kerjasama yang lebih aktif dan agresif di masa mendatang sekaligus dapat menjadi rujukan kepada pengamal radio yang lain untuk mengambil pendekatan yang sama di samping mewujudkan persepsi positif masyarakat terhadap industri radio di Malaysia,” katanya.

DJ Lin (kanan) dan Hani Fadzil.

Sementara itu, bagi Pengurus Kandungan ERA, Hani Fadzil berkata, ERA teruja untuk bersama-sama Suria FM meskipun kolaborasi itu menggabungkan dua jenama dari latar belakang yang berbeza,

“Kami percaya bahawa di penghujung hari, kandungan dan pengisian yang diterima oleh para pendengar adalah perkara utama.

“Kami juga ingin mempamerkan persaingan sihat di antara jenama radio dengan berkongsi nilai dan matlamat yang sama seperti CelcomDigi, kami percaya bahawa ERA dan Suria FM akan Gagah Bersama,” katanya. – MalaysiaGazette