Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang bersama bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad (kanan) pada Perasmian Muktamar Tahunan Pas ke-69 di IDCC Shah Alam, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 20 OKTOBER 2023.

SHAH ALAM – Pas tidak akan mencalonkan penasihat tidak rasmi kepada empat kerajaan negeri ditadbir parti itu, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman pada 2 Disember ini.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, untuk mencalonkan bekas perdana menteri itu adalah satu yang tidak munasabah.

“Tidak munasabah (nak calonkan Dr Mahathir), kalau nak timbulkan biar munasabah,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Muktamat Tahunan Pas kali ke 69 di sini hari ini.

Abdul Hadi berkata demikian mengulas pertanyaan wartawan MalaysiaGazette mengenai laporan sebuah portal yang menyebut sumber rapat bekas perdana menteri itu mengenai dakwaan Pas kemungkinan meletakkan Mahathir sebagai calon pada PRK Kemaman.

Menurut laporan itu, kehadiran Dr Mahathir di Dewan Rakyat akan membolehkan ahli politik veteran itu membangkitkan isu negeri dengan lebih baik.

Pas menerusi setiausaha agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, parti itu akan mengumumkan calon mereka sebelum hari penamaan calon 18 November ini.

Ditanya sama ada parti itu sudah mempunyai calon pada PRK itu kelak, Abdul Hadi berkata, ia masih di peringkat perbincangan.

“(Calon PRK kemaman) Masih Dalam proses perbincangan,” katanya.

Pada PRU-15 lalu, Che Alias menang dengan majoriti 27,179 undi dalam pertembungan empat penjuru yang turut melibatkan bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said dari Barisan Nasional (BN).

Namun kemenangan Che Alias dibatalkan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lalu selepas pempetisyen berjaya membuktikan wujudnya unsur rasuah ketika kempen pilihan raya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast