SHAH ALAM – Pengumuman kerajaan dalam Belanjawan 2024 yang menaikkan harga lantai belian beras tempatan sehingga RM100 satu berita gembira namun ia masih tidak mencukupi.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, meskipun jumlah itu agak kecil namun beliau merakamkan penghargaan kepada pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Yang pertama sekali terima kasih kerana naik jugak RM100 tapi tak cukup la, dia cakap tak ucap terima kasih, boleh la, naik juga, tapi tidak mencukupi.
“Saya harap boleh lebih pada itu, pasal mereka baru-baru ini berebut-berebut itu, mereka beli RM1,700 boleh pula!
“Kalau RM1,700 apa salahnya, saya rasalah kot jual beras import, bila beras murah balik, dia beli murah balik la tapi RM1,300 itu terima kasihlah,” katanya ketika ditemui pemberita di Pusat Konvensyen Ideal hari ini.
Jumaat lalu, Perdana Menteri dalam Belanjawan 2024 mengumumkan harga lantai belian padi dinaikkan daripada RM1,200 kepada RM1,300 per tan.
Pentadbiran Anwar juga bersetuju dengan keputusan itu demi membantu pendapatan pesawah.
Perdana Menteri melaporkan kepada Dewan Rakyat bahawa kerajaan menetapkan harga lantai RM1,200 sejak 2014. – MalaysiaGazette