Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

SHAH ALAM – Pas mengesahkan bekas Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid merupakan antara calon yang dipertimbangkan untuk mempertahan kerusi tersebut pada pilihan raya kecil (PRK) 2 Disember depan.

Timbalan presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Che Alias merupakan antara nama yang disenaraikan dan keputusan mahkamah baru-baru ini tidak menggugurkan kelayakannya untuk bertanding.

Menurut beliau, pada masa ini, Pas masih belum membuat keputusan berhubung perkara tersebut dan masih meneliti calon-calon.

“Dia masih layak. Cuma siapa itu, parti akan buat pengumuman.

“Buat masa ini kita belum terima nama lagi daripada Pas Kawasan Kemaman,” katanya pada sidang media Muktamar Tahunan Pas Ke-60 di Pusat Konvensyen Ideal di sini hari ini.

Terdahulu, Malaysiakini melaporkan, Che Alias berkata, hanya namanya yang dicalonkan Pas Kawasan Kemaman untuk bertanding pada PRK Parlimen Kemaman.

Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lalu menerima petisyen difailkan seorang pengundi bagi membatalkan kemenangan Che Alias pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

Keputusan itu dibuat Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu merangkap Hakim Pilihan Raya, Datuk Anselm Charles Fernandis setelah mendapati wujud unsur sogokan kepada pengundi ketika tempoh kempen pilihan raya. – MalaysiaGazette