Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Sanusi Md Nor ketika ucapan usul penutup semepena Muktamar Tahunan Pas ke-69 di IDCC Shah Alam, Selangor. Foto MUHD NA’IM,21 OKTOBER 2023.

SHAH ALAM – Semangat demokrasi negara ini semakin terhakis apabila agensi kerajaan khususnya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) didakwa disalahgunakan parti pemerintah.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, ia terbukti apabila mana-mana hantaran di media sosial dan portal yang menggunakan dua perkataan sensitif akan dipadam dan dikenakan tindakan.

“Ada dua perkataan menjadi pantang larang Kerajaan Madani, satu peliwat, kedua lelaki rogol lelaki. Carilah berita itu dalam portal, medsos, semuanya akan dipadamkan, tak percaya hampa pi cari, kalau tak geli la, kalau geli tak payah.

“Ada beberapa peristiwa tangkapan yang dibuat oleh agensi SKMM khusus berkaitan dengan keadaan ini.

“Kemandulan demokrasi telah dibuat dengan sekatan melampau, arahan tutup media portal tanpa sebab dan sekatan kepada akses termasuk menyekat akses telefon,” katanya berucap menyokong usul Mempertahan Kebebasan Media dan Kebebasan Berpersatuan/Berpolitik pada Muktamar Tahunan Pas kali ke-69, di sini hari ini.

Muhammad Sanusi juga mendakwa, keadaan itu menunjukkan kredibiliti agensi-agensi kerajaan termasuk SKMM dan PDRM dipergunakan untuk menutup semua kelemahan Kerajaan Madani.

“Semakin hari semakin terhakis khususnya masyarakat mula mempersoalkan fungsi sebenar SKMM dan PDRM. Adakah negara ini telah menjadi sebuah negara polis apabila polis dipergunakan untuk menyekat kandungan bahan sebaran di media sosial dan portal,” katanya.

Lebih malang, menurut Muhammad Sanusi, SKMM kini muncul untuk menyekat sebaran berita dan pandangan daripada mengkritik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim secara peribadi.

“Oleh kerana perjuangan Anwar adalah peribadi untuk menjadi Perdana Menteri, maka sebarang kritikan berkaitan kerajaan, mahu tidak mahu kita tidak boleh mengelak daripada mengaitkan peribadi beliau,” katanya.

Sanusi turut mendedahkan terdapat aktivis media sosial yang berdepan sekatan terbabit hingga memaksanya memfailkan semakan kehakiman.

“Ini kerana SKMM telah mengarahkan syarikat telco menyekat enam akaun telefon milik beliau dan keluarga sejak Ogos 2022.

“Banyak sekali penggiat TikTok, Facebook dan Twitter mengadu akaun mereka dibekukan, kandungan mereka dipadam termasuk akaun TikTok saya, punya takut punya kerajaan, pengecoi!” katanya.

Beliau turut menyifatkan semua sekatan itu sebagai tindakan draconian sekali gus menjadi petanda kebebasan akhbar di Malaysia telah menjadi begitu berat sebelah dan mengugut rakyat sendiri.

“SKMM telah hilang kredibiliti kerana menjadi alat politik pemerintah, bukan lagi melindungi rakyat terbanyak,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast