Pembahas Kelantan, Muhamad Asri Mat Daud

SHAH ALAM – Mana-mana parti kerajaan sepatutnya menyalurkan peruntukan kepada semua wakil rakyat termasuk pembangkang sama ada ahli Parlimen mahu pun Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Pembahas Kelantan, Muhamad Asri Mat Daud berkata, ia sebagai menghormati hak rakyat yang memilih wakil rakyat dalam pilihan raya lalu.

“Kerajaan Negeri Kelantan memberi peruntukan yang sama kepada ADUN pembangkang sebagai menghormati hak rakyat yang telah memilih mereka.

“Mana-mana parti pemerintah sama ada peringkat Persekutuan mahupun negeri hendaklah menghormati hak rakyat.

“Parti pemerintah sepatutnya menyalurkan peruntukan kepada semua ahli Dewan Rakyat termasuk ADUN,” katanya ketika membahaskan ucapan dasar Presiden Pas pada Muktamar Tahunan Pas kali ke-69, di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini hari ini.

Dalam pada itu, Kerajaan Negeri Kelantan menggesa kepimpinan Pas memantapkan koridor hijau di empat negeri atau dikenali sebagai State Government 4 (SG4).

“Ia bagi mewujudkan satu kesepakatan dan kesatuan negeri-negeri diterajui oleh Perikatan Nasional (PN). Ia juga untuk berdepan dengan birokrasi federalisme kerajaan hari ini terutama melibatkan agenda pelaburan, kebajikan rakyat serta menuntut komitmen kerajaan Persekutuan dalam melunaskan hak royalti negeri,” katanya lagi. – MalaysiaGazette