Pembahas Dewan Pemuda Pas, Muhammad Hanif Jamaluddin ketika pembahasan ucapan Dasar Presiden semepena Muktamar Tahunan Pas ke-69 di IDCC Shah Alam, Selangor. Foto MUHD NA’IM,21 OKTOBER 2023.

SHAH ALAM – Konsep keadilan yang dilaungkan Kerajaan Madani pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat hanya bersifat retorik semata-mata.

Pembahas Dewan Pemuda Pas, Muhammad Hanif Jamaluddin berkata, bukti terbesar ketidakadilan itu boleh dilihat daripada keengganan kerajaan memberikan peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang.

“Kerajaan apa hari ini? Mereka langsung tidak memberikan peruntukan sedangkan ada di antara penyokong dan pendukung mereka berada di kawasan tersebut (pembangkang).

“Sudah semestinya penyokong dan pendukung mereka juga tidak akan mendapat kenikmatan daripada Kerajaan Madani.

“Saya mengajak penyokong dan pendukung yang terseksa, dizalimi dengan sifat ketidakadilan ini, pada PRU16 akan datang berikanlah sokongan kepada Perikatan Nasional (PN),” katanya berucap ketika membahaskan ucapan Dasar Presiden Pas pada Muktamar Tahunan Pas kali ke-69 di sini hari ini.

Tambah Muhammad Hanif, ketidakadilan itu berlaku susulan pemerintahan kerajaan hari ini bercirikan kleptokrasi, kakistokrasi dan dihantui dengan isu-isu integriti pemimpin PH-BN.

“Kerajaan gabungan PH-BN ini dilihat membelakangi semangat federalisme, antaranya apa yang berlaku di Kedah menerusi projek KSP dan Ulu Muda

“Kalau kita lihat di Terengganu dan Kelantan, mereka dilihat melengah-lengahkan pemberian royalti Petroleum yang sepatutnya menjadi hak kerajaan negeri,” katanya lagi. – MalaysiaGazette