Foto Facebook Lee Tuck.

KUALA LUMPUR – Penghijrahan bekas pemain naturalisasi Harimau Malaya, Lee Tuck ke United Kingdom (UK) kini berbaloi kerana dia kini berjaya sebagai seorang ejen dalam bidang hartanah di negara berkenaan.

Mengusahakan syarikarat dikenali Unified Properties bersama-sama isterinya, Georgia, mereka berjaya menjadi finalis Anugerah Pelabur Hartanah Terbaik di UK.

Perkongsian berita gembira itu dimuat naik oleh Lee Tuck dalam Facebook miliknya

“Saya berbesar hati untuk mengumumkan bahawa saya adalah finalis dalam Anugerah Pelabur Hartanah yang merupakan salah satu anugerah terbesar di UK dan ia merupakan salah satu anugerah paling diiktiraf dalam industri hartanah di negara ini.

“Saya amat berbangga dengan pasukan saya di Unified Property atas semua kemajuan yang telah kami capai pada 2022/2023.

“Walaupun ia tidak mudah, saya bersyukur atas pengiktirafan yang kami terima atas segala usaha kami untuk meningkatkan taraf sewaan hartanah,” katanya yang berusia 35 tahun.

Kelab terakhir diwakili Lee Tuck di Malaysia adalah Kedah Darul Aman (KDA FC) musim ini namun pemain itu menamatkan kontraknya pada akhir Julai lalu. dan pulang ke UK.

Pemergian pemain terbaik bulanan (POTM) Liga Super Jun itu mencetuskan tanda tanya sama ada dia tidak lagi berminat untuk mewakili Harimau Malaya terutamanya Piala Asia 2023.

Sementara itu, Lee Tuck nula mencipta nama dalam kancah bola sepak tempatan sejak 2017 apabila menyertai Negeri Sembilan FC.

Dia kemudiannya terus mencipta legasi dalam bola sepak tempatan dan ketika mewakili Terengganu FC, namanya mula menarik perhatian terutamanya di United Kingdom (UK).

Selepas itu, Lee Tuck pernah mencipta sensasi dengan digelar sebagai ‘pemain eksport United Kingdom paling berjaya yang tidak pernah didengar’ oleh laman Dream Team di UK.

Karier dia terus mekar di Malaysia hinggakan pemain itu layak untuk dinaturalisasikan sekali gus mewakili Harimau Malaya untuk beberapa kali. – MalaysiaGazette