Sebahagian daripada 59 anggota bomba daripada 11 Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) seluruh negeri Melaka terlibat pada program pengujian bot dan peralatan menyelamat di air sebagai persediaan Bulan Kesiapsiagaan Bencana Banjir Monsun Timur Laut (MTL) di Melaka hari ini.

MELAKA – Orang ramai dinasihatkan sentiasa peka dan berwaspada semasa melakukan aktiviti di air susulan perubahan Monsun Timur Laut bermula November ini sehingga Mac depan.

Penolong Pengarah, Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat negeri, Penguasa Kanan Bomba II Muhammad Izwan Arief Mat Nor berkata, ia bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini sama ada laut mahu pun sungai.

“Sikap sambil lewa dan memandang ringan terhadap perubahan cuaca adalah antara punca berlakunya kemalangan di kawasan berkenaan.

“Justeru, kita berharap ibu bapa dapat meningkatkan peranan mereka mengawal anak-anak untuk mengelakkan ditimpa sebarang musibah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas program pengujian bot dan peralatan menyelamat di air sebagai persediaan Bulan Kesiapsiagaan Bencana Banjir Monsun Timur Laut (MTL) di sini hari ini.

Menurut Muhammad Izwan, seramai 59 anggota bomba daripada 11 Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) seluruh negeri terlibat pada program itu.

“Selain itu, program ini juga bertujuan meningkatkan kemahiran setiap anggota apabila melaksanakan operasi menyelamat di air.

“Ujian bot ini dilakukan di tiga lokasi iaitu Pantai Siring di Jasin, Jeti Marina (Melaka Tengah) dan Pantai Pengkalan Balak bagi daerah Alor Gajah,” katanya. – MalaysiaGazette