BUKIT MERTAJAM – Polis menahan seorang lelaki serta merampas sebilah parang yang digunakan mengugut seorang tukang masak di sebuah restoran makanan di Taman Kota Permai di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Tan Cheng San berkata,  suspek tempatan berusia 40 an itu ditahan di rumahnya selepas pihaknya menerima laporan daripada mangsa.

“Berdasarkan keterangan mangsa mendakwa suspek yang dikenalinya itu datang ke restoran yang merupakan tempat dia bekerja pukul 7.55 pagi.

“Suspek terus menyerang mangsa dengan membaling kerusi selain mengeluarkan sebilah parang panjang dan mengacukan kepadanya.

“Tukang masak itu kemudian melarikan diri ke bahagian dapur dan pergaduhan dileraikan pelanggan yang berada di restoran berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Cheng San, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan itu tampil membuat laporan polis.

“Tangkapan telah dilakukan dan punca kejadian masih dalam siasatan pihak polis,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast