Wakil Pas Negeri Perak, Mohamad Fakhrudin Abdul Aziz ketika pembahasan ucapan Dasar Presiden semepena Muktamar Tahunan Pas ke-69 di IDCC Shah Alam, Selangor. Foto MUHD NA’IM,21 OKTOBER 2023.

SHAH ALAM – Pilihan Raya Negeri ke-15 (PRN15) di enam negeri pada Ogos lalu membuktikan UMNO gagal menjaga kepentingan Melayu dan hanya mampu meraih 33 peratus sahaja undi daripada kaum terbesar di negara ini.

Pembahas Pas Perak, Mohamad Fakhrudin Abdul Aziz berkata, ia membuktikan buat pertama kali dalam sejarah UMNO-BN tidak mewakili suara orang Melayu Islam.

“UMNO yang diamanahkan menjaga khazanah Melayu sebelum ini dilihat gagal menjaganya.

“Hari ini PH yang mempunyai 11 peratus manakala BN memperoleh 33 peratus sokongan undi Melayu dalam PRN15 dilihat lemah untuk menjaga kepentingan Melayu Islam.

“Sebaliknya majoriti suara ini kini diwakili Perikatan Nasional (PN) dan Pas, malangnya suara Melayu terbesar ini tidak menerajui pemerintah,” katanya berucap ketika membahaskan ucapan Dasar Presiden Pas pada Muktamar Tahunan Pas kali ke-69,” di Pusat Konvensyen Ideal di sini hari ini.

Beliau juga berkata, walaupun jumlah orang Melayu Islam besar namun kaum terbesar itu tidak berperanan dan memimpin negara disebabkan mereka masih berpecah-belah.

“Berpecah-belah kerana berbeza pandangan, masalah furuk, perbezaan fahaman politik atau tidak mengundi kerana benci akan politik atau mengaggap politik itu tidak penting.

“Manakala bukan Melayu yang masih tidak menerima Islam bersatu dan kini mereka mendapat kuasa politik,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, DAP berjaya menutup wajah perkauman hingga berjaya mendapat sokongan besar majoriti kaum Cina.

“(Malah DAP) sedang mendominasi PH dalam Kerajaan Perpaduan bersama Melayu yang meninggalkan fitrah perjuangannya sebelum ini.

“Kita biasa dengar ungkapan guna Melayu skru Melayu, walaupun DAP mengatakan partinya pelbagai kaum, perkara ini tidak boleh menghapuskan tabii mereka yang cinta akan kaum masing-masing.

“Prinsip perjuangan mereka tidak ubah, mereka tetap memperjuangkan kesamarataan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast