SERDANG – Seramai 300 pelajar dan staf Universiti Putra Malaysia (UPM) menyertai Program Literasi Kewangan bersempena Bulan Literasi Kewangan pada bulan Oktober 2023 yang diadakan di Sekolah Perniagaan dan Ekonomi (SPE), UPM baru-baru
ini.
Program anjuran Pejabat Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), UPM 9dengan kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM) bertujuan untuk meningkatkan tahap literasi kewangan dan memberi kesedaran mengenai kepentingan pendidikan kewangan kepada rakyat Malaysia, khususnya dalam kalangan pelajar institusi pengajian tinggi di dalam era digital ini.
Program ini juga dijalankan untuk menyokong pelaksanaan projek rintis pendidikan kewangan di institusi pendidikan tinggi oleh Sekretariat Jaringan Pendidikan Kewangan FEN) yang mana UPM merupakan salah satu IPT rintis bagi projek ini.
Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), UPM, Prof. Dr. Ismi Arif Ismail berkata, program ini merupakan platform terbaik buat pelajar dan juga staf dalam melahirkan modal insan yang mempunyai asas mengurus kewangan kendiri yang cekap bagi menjala ni kehidupan seharian dengan lebih efisien bersesuaian dengan Pelan Strategik UPM 2021-2025 bagi Matlamat 1 iaitu Melahirkan Watak Graduan Berdaya Tahan Mendepani Cabaran Mendatang.
“Dengan meningkatkan kemampuan dan keupayaan tahap literasi kewangan rakyat Malaysia dan warga UPM khususnya, kita dapat memupuk masyarakat yang lebih berjati diri dalam membina kesejahteraan kewangan,” katanya.
Dr. Ismi turut menekankan bahawa literasi kewangan juga penting bagi membantu masyarakat agar tidak terjebak dengan penipuan kewangan yang menggunakan pelbagai modus operandi terkini dan lebih berpengetahuan tentang risiko berkaitan penggunaan kewangan digital.
Siri jelajah di UPM ini, pihak FEN turut berkongsi cara-cara mengelak daripada menjadi mangsa penipuan kewangan selain sesi perkongsian tentang perkhidmatan kewangan digital secara selamat, jenayah kewangan, perancangan kewangan, perlindungan sosial
serta kepentingan insurans dan takaful. – MalaysiaGazette