KAJANG – Gara-gara berang gambarnya diaib dan ditularkan di media sosial, seorang pelajar perempuan bertindak menampar muka seorang rakan sekelas.
Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, insiden itu berlaku di dalam bilik darjah sebuah sekolah menengah di sini Jumaat lalu.
Menurutnya, siasatan polis mendapati semasa salah seorang pelajar dalam video berkenaan berada di dalam kelas dia telah melihat satu posting gambar di akaun TikToknya yang mengaibkan dirinya.
Video tersebut dikatakan ditular oleh rakan sekelas.
Oleh kerana itu pelajar berkenaan telah berjumpa dengan rakan tersebut dan telah bertindak menampar pipi rakan sebanyak kali sambil bertanya mengapa gambarnya ada di telefon milik rakannya.
Rakannya mengaku gambar tersebut diambil sendiri olehnya menggunakan telefon milik rakan.
Akibat sangat marah, pelajar tersebut telah menampar muka rakannya itu yang dikatakan telah menjatuhkan maruahnya.
Suspek telah tampil ke balai untuk membuat laporan polis sebagai laporan perlindungan diri berhubung kejadian tersebut.
Mohd Zaid berkata, mangsa dalam kes ini juga telah membuat laporan polis berhubung kejadian ini semalam.
Kes berkenaan sedang disiasat di bawah 323 Kanun Keseksaan yang boleh dijatuhkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian perkhidmatan rangkaian yang membawa denda dan penjara jika disabitkan kesalahanya. – MalaysiaGazette