PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) komited dalam mendapatkan mendapatkan pandangan semua pemain industri berhubung pelan pembangunan pendidikan berkaitan kurikulum persekolahan baharu 2027 melalui ‘Jerayawara Jelajah Pendidikan’ di seluruh negara.
Menurut Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, perkara itu juga merupakan antara cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyebutnya ketika pembentangan Belanjawan 2024 baru-baru ini.
Fadhlina berkata, antara yang akan menjadi fokus serta pembharuan termasuklah pendidikan karakter, fleksibiliti dan aspek pendigitalan mengikut trend masa.
“Untuk makluman, jelajah ini adalah salah satu usaha kita dalam merangka pelan pendidikan baharu negara yang akan tamat pada 2025. Ini juga akan melihat penglibatan pelbagai peringkat segmen komuniti yang merupakan pemegang taruh dalam pendidikan.
“Sebenarnya usaha ini juga amat penting bagi merangka agenda pendidikan masa depan negara buat generasi akan datang,” katanya selepas majlis Istiadat Konvokesyen Institut Pendidikan Guru (IPG) Kementerian Pendidikan (KPM) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini sebentar tadi.
Katanya lagi pelan pembangunan pendidikan baharu itu akan memberi tumpuan kepada pembangunan latihan kompetensi guru dan kebolehpasaran individu dalam bidang pekerjaan, dalam dan luar negara.
Tambah Fadhlina, KPM terbuka dengan pandangan daripada semua pihak berkaitan pembangunan kurikulum baharu pendidikan negara.
“Kita hendak input dan pandangan daripada semua peringkat masyarakat untuk memperkukuh sistem pendidikan negara,” ujarnya. -MalaysiaGazette