Kumpulan Jakel turut menghulurkan sumbangan berjumlah RM3 juta kepada Tabung Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP).

KUALA LUMPUR – Gedung tekstil terkenal, Jakel Tekstil menghulurkan sumbangan berjumlah RM300,000 manakala jenama tudung Ariani menambah RM200,000 sekaligus menjadikan jumlah keseluruhan RM500,000 kepada Tabung Viva Palestina Malaysia.

Sumbangan itu disampaikan kepada Pengasas Viva Palestina Malaysia, Puan Sri Norma Hakim.

Menurut Pengarah Urusan Kumpulan Jakel, Datuk Seri Mohamed Faroz Mohamed Jakel, inisiatif itu adalah satu pernyataan kebersamaan dan solidariti pihaknya untuk saudara seagama di Gaza.

Dalam suatu usaha kolektif melalui Kerajaan Malaysia, Kumpulan Jakel turut menghulurkan sumbangan berjumlah RM3 juta kepada Tabung Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) yang dikendalikan oleh Kementerian Luar.

“Inisiatif ini bukan sahaja mencerminkan sokongan berterusan kami kepada usaha kemanusiaan di Palestin tetapi juga berfungsi sebagai peringatan mendalam bahawa komitmen Malaysia terhadap perjuangan Palestin tetap kukuh dan tidak berbelah bagi.

“Perang Palestin-Israel, yang telah menyebabkan keadaan semakin mendesak dengan serangan Israel ke atas kemudahan awam seperti hospital, sekolah, masjid dan gereja melanggar undang-undang peperangan antarabangsa.

“Banyak nyawa telah terkorban syahid dan cedera, dan dengan hospital yang dibom, bantuan perubatan juga menjadi sukar,” katanya dalam satu kenyataan.


Datuk Seri Mohamed Faroz Mohamed Jakel (kanan) Puan Sri Norma Hakim.

 

Dalam menghadapi tragedi itu, situasi di Gaza telah mengundang perhatian antarabangsa.

Banyak negara telah tampil untuk membantu rakyat Palestin yang menghadapi kesukaran bekalan asas seperti air, elektrik, makanan dan perubatan. – MalaysiaGazette