YANGON (Myanmar) – Jenazah bekas imam yang menjadi mangsa pemerdagangan manusia di Myanmar, Muhammad Izzat Abdul Wahab, 28, masih dalam keadaan sempurna dan ‘bersih’ walaupun sudah meninggal dunia lebih dari seminggu.
Jenazah yang ditemui ketika proses pengecaman di rumah mayat Hospita Yongon kelihatan cukup sifat, kata abangnya, Muhamad Asmawi Abdul Wahab.
Menurutnya, pihak kedutaan telah memanggil ahli keluarga terdekat untuk membuat pegecaman setelah jenazah dibawa dari Taichileik pada Rabu lalu dan tiba di Yangon pada Jumaat lepas.
“Setibanya sampai di rumah mayat, keranda dikeluarkan dari van dan diletakkan di rumah mayat dan dibuka keranda besi yang kelihatan seperti ice box.
“Arwah diletakkan ais dan dibalut beberapa lapisan plastik dan apabila dibuka, saya lihat jenazah adik saya dalam keadaan sempurna, bersih dan elok dari keadaan badan dan kaki,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Muhamad Asmawi sekeluarga bersyukur melihat jenazah dalam keadaan sebegitu dan mengharapkan proses membawa pulang ke tanah air dipermudahkan.
“Pemandu van jenzah bertanya bila adik saya ini meninggal dan saya menjawab arwah meninggal dunia pada 14 Oktober, lalu pemandu itu terkejut dan mengatakan his face looks very good.
“Itu sahaja kami sekeluarga hajatkan (keadaan jenazah yang baik) kerana dari hari dia meninggal dunia sehingga sampai sudah lebih seminggu disimpan.
“So far alhamdulillah, arwah tiada luka dan dalam keadaan elok, cantik. Buka sahaja plastik terus boleh cam arwah,” katanya.
Semasa hayatnya, arwah merupakan seorang bekas imam di Masjid Saidina Ali, Bukit Sekilau Kuantan serta Masjid Tepian Putra Kuantan selain mengajar mengaji di beberapa tempat di Kuantan.
Allahyarham Muhammad Izzat merupakan bekas pelajar tahfiz di Pondok Moden Bachok, Kelantan mencari rezeki dengan pelbagai kerja dilakukan seperti memotong rumput, penghantar makan dan membawa lori setelah berumahtangga.
Arwah disahkan maut dalam tahanan imigresen Myanmar selepas berjaya diselamatkan daripada menjadi mangsa pemerdagangan manusia oleh wakil sebuah pertubuhan kemanusian pada 14 Oktober lalu.
Dikenali Pakdik, beliau merupakan anak bongsu daripada lapan beradik meninggalkan seorang balu, Nurul Diyana Mohd Shukri, 27, dan dua anak lelaki berusia enam dan empat tahun. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: