Foto Instagram Nourul.

KUALA LUMPUR – Penyanyi Nourul Depp menjelaskan kehidupannya di Bali berjalan seperti biasa walaupun pulau peranginan terkenal itu diisytiharkan darurat selama dua minggu akibat kemarau dan kebakaran.

Nourul atau nama sebenarnya Noorul Huda Abdul Wahab, 46, berpindah ke Bali, Indonesia bersama keluarganya sejak September 2021 demi memberi pendidikan terbaik buat anak-anaknya.

“Sebab ramai yang tanya Nourul okey ke dekat Bali? Saya jawab, sini tiada apa-apa darurat hidup seperti biasa. Ya memang ada kebakaran, ya tengah kemarau tapi sekarang sudah nampak mendung sedikit.

“Sepatutnya sudah masuk musim hujan, tetapi di sini masih panas dan kering. Mudahan-mudahan akan hujan dan musim tengkujuh akan sampai tidak lama lagi.

“Buat semua kawan-kawan dan teman media yang bertanya kehidupan di Bali berjalan seperti biasa.

“Terima kasih kerana memikirkan kami dan terima kasih ambil berat keadaan kami di sini,” ujar Nourul dalam sebuah video yang dimuat naik dalam akaun Instagram yang sebelum itu dia menunggang motosikal.

Nourul sempat menunjukkan kesibukan jalan raya yang berjalan seperti biasa.

Nourul berkahwin dengan Eric Daniel Depp pada 2012 dan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Zachary, 10, Raphael, 8, dan Isabella 4.

Sementara menerusi perkahwinan terdahulu bersama komposer Ajai, Nourul dikurniakan seorang cahaya mata iaitu Ayu Nazirah, 25.

Sebelum ini, pengisytiharan darurat Bali mencetuskan kebimbangan ramai terutama mereka yang telah merancang percutian ke pulau tersebut.

Arahan tersebut dikeluarkan pada Khamis lalu dan membabitkan semua daerah dan bandar di seluruh wilayah itu, termasuk Denpasar, Badung, Bangli, Buleleng, Gianyar, Jembrana, Karangasem, Klungkung dan Tabanan.

Darurat berkuat kuasa sehingga 1 November dan boleh dilanjutkan atau dipendekkan mengikut keperluan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast