KUALA LUMPUR – Pasukan MALBATT 850-10 yang terlibat misi pengaman di Lubnan disahkan selamat walaupun keadaan tegang di sempadan negara itu susulan konflik Palestin-Israel.
Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jen Tan Sri Mohammad Ab Rahman berkata, penugasan pasukan MALBATT 850-10 ketika ini berjalan seperti biasa.
“Alhamdulillah, walaupun keadaan agak tegang di sana (Lubnan) mereka berada dalam keadaan baik dan sihat,” katanya dalam sidang media pada Perbarisan Perintah Ulung Panglima ATM ke-22 di Dataran Panglima Tentera Darat, Kem Perdana Sungai Besi, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai status keselamatan pasukan MALBATT 850-10 yang terlibat misi pengaman di Lubnan.
Media antarabangsa melaporkan pertempuran membabitkan kumpulan Hezbollah di selatan Lubnan yang bersempadan dengan Israel, kian memuncak di sebalik konflik Palestin-Israel.
— BERNAMA