KUALA LUMPUR – Seorang lelaki yang disyaki mengintai di dalam tandas wanita di sebuah pasar raya, Taman Bukit Dahlia, Pasir Gudang, Johor, ditahan polis .
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Supt. Mohd Sohaimi Ishak, berkata, polis mengesan video yang tular dimuatnaik melalui laman sosial Facebook berdurasi 2 minit 11 saat berkait perbuatan seorang lelaki yang tidak bermoral.
“Suspek yang terlibat dalam kejadian tersebut adalah seorang lelaki warganegara berusia 23 tahun yang ditahan oleh orang awam dan kemudiannya diserahkan kepada pihak polis,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Menurut Mohd. Sohaimi, siasatan mendapati kejadian berlaku pada kira-kira jan 11 pagi semalam dan semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.
Tambah beliau, kes ini disiasat di bawah Seksyen 377D Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara sehingga dua tahun jika sabit kesalahan.
Jelasnya, permohonan tahanan reman ke atas suspek akan dipohon di bawah seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah di mahkamah Johor Bahru pada hari ini untuk siasatan lanjut. – MalaysiaGazette