Kredit foto: Bomba dan Penyelamat Pasir Gudang

PASIR GUDANG – Seorang pemandu rentung selepas kereta jenis Nissan Almera yang dipandunya terbakar dipercayai akibat terbabas dan melanggar pokok di tepi jalan di kawasan perindustrian Jalan Pekeliling di sini pagi tadi.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Gudang Penolong Penguasa Bomba Sarhan Akmal Mohamad berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 11.13 pagi.

Beliau berkata susulan itu, sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan utiliti Hilux dengan kekuatan 10 anggota digegaskan ke lokasi kejadian.

“Pasukan Keluaran Operasi (PKO) bertindak membuat pemadaman menggunakan satu aliran salur bantu mula sehingga api padam sepenuhnya dan mayat mangsa berjaya dikeluarkan dengan menggunakan Rescue Tool,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Sarhan berkata mayat mangsa yang identitinya belum dikenal pasti diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat sepenuhnya pada 11.51 pagi.- BERNAMA