BAYAN BARU – Polis menahan seorang penghantar makanan kerana menampar petugas Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) ketika sedang mengambil sampel jentik-jentik di rumahnya di Taman Melati di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, tangkapan ke atas suspek berusia 44 tahun itu dibuat selepas pihaknya menerima laporan daripada mangsa.
“Hasil siasatan mendapati kejadian berlaku kira-kira 10.30 pagi ketika petugas JKNPP itu sedang membuat pemeriksaan nyamuk Aedes di kawasan perumahan terbabit.
“Berdasarkan keterangan mangsa, tiba-tiba dia didatangi suspek berusia 44 tahun itu ketika sedang mengambil sampel jentik-jentik di kediaman lelaki tersebut.
“Suspek kemudian bertindak menampar bahagian muka mangsa beberapa kali hingga mengakibatkan luka kecil pada bahagian dahi,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Tambah Kamarul Rizal, suspek direman selama empat hari bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 332 Kanun Keseksaan iaitu menghalang penjawat awam menjalankan tugas. – MalaysiaGazette