KUALA LUMPUR – Tidak ada orang Cina dan India di Kelantan mahupun Terengganu sekiranya pemimpin-pemimpin di negeri yang dikuasai Pas mengamalkan sikap khawarij.
Datuk Idris Ahmad (PN-Bagan Serai) berkata, tuduhan yang dilabelkan DAP terhadap blok pembangkang mengenai perkara itu adalah terlalu berat.
Katanya, jika pembangkang bersifat khawarij sudah tentu mereka tidak akan menyertai sebarang pilihan raya.
“Khawarij ni berat tau… khawarij ni berat. Menganggap kalau kami ni khawarij tak ada dah orang Cina, orang India. Tak ada orang Cina di Kelantan dan Terengganu, mereka minoriti penduduk di sana.
“Tapi, apa yang berlaku kami ada Dewan DHPP (Dewan Himpunan Penyokong Pas) dewan himpunan pendokong. Setiap kali mereka mesyuarat dia teliti pengerusi yang terlibat dalam jawatankuasa Pas Pusat, dan kita pula ada ahli majlis dan penghulu dengan orang bukan Islam.
“Kalau kami khawarij kami tak sertai pilihan raya, walaupun kita tahu dalam pilihan raya ni pelbagai mehnah (cabaran) yang kita lalui, namun kami tetap ambil jalan pendekatan demokrasi begitu lagi kalau khawarij tak wujud lagi patung-patung di Kelantan,” katanya pada sidang media, di pusat media Parlimen, di sini, hari ini.
Dalam pada itu Idris berkata, tidak cukup dengan sekadar meminta maaf selepas membuat tuduhan kepada pembangkang berhubung perkara itu.
Tambah beliau, ini kerana tuduhan yang dibuat tidak membawa kepada normalisasi kerana ia merupakan kenyataan yang sangat bahaya.
“Persoalannya tadi kenapa tidak disebut (ketika sesi jawab lisan Menteri Dalam Negeri). Ni satu kenyataan yang bahaya…takkan cukup minta maaf sahaja, ini satu perkara yang tak membawa kepada normalisasi kata kami ni khawarij.
“Dia pukul orang tiba-tiba dia kata kat orang bahawa orang itu pukul dia…dia maki aku tiba-tiba dia kata orang tu maki dia. Hari ini dia yang bawa (isu) tiba-tiba ada khawarij dia nak kata kat kita. Kita nak, biarlah seorang menteri adil dengan jawapan dia,” ujarnya. – MalaysiaGazette