KUALA LUMPUR – Pasukan pembelaan bagi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membantah permohonan pendakwaan yang hendak meminda jumlah salah satu pertuduhan hari ini.
Kata peguam bela yang mengetuai pasukan Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah perkara itu dibantah kerana pihaknya sudah bersedia dengan soal balas saksi berdasarkan jumlah dinyatakan dalam pertuduhan.
Menurut beliau, pihaknya memerlukan masa sehingga esok untuk mendengar hujahan lisan berkaitan permohonan ini.
“Kami hanya dapat salinan permohonan pindaan oleh pendakwaan hari ini,” katanya di hadapan Hakim yang sedang mendengar prosiding penyelewengan dana 1MDB sebanyak RM2.3 bilion, Datuk Collin Lawrence Sequerah hari ini.
Collin kemudian membenarkan permohonan tersebut sebelum menyambung prosiding petang ini.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Kamal Baharin Omar memberitahu mahkamah pindaan itu perlu bagi pihaknya mengurangkan jumlah salah satu daripada empat pertuduhan salah guna kuasa daripada RM49,930,985.70 kepada RM44,570,920.70.
Ini berikutan keterangan dua saksi baru-baru ini iaitu, penganalisis wang Bank Negara Malaysia (BNM), Adam Ariff Mohd Roslan dan pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Foo Wei Min.
“Pendakwaan mohon pemindaan ini mengikut Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan untuk meminda pertuduhan jenayah pada bila-bila masa semasa perbicaraan.
“Mahkamah juga mempunyai bidang kuasa bagi membenarkan pemindaan malah ini juga tidak menganggu perjalanan kes ini terhadap tertuduh kerana melibatkan pengurangan jumlah,” ujarnya.
Najib yang juga mantan Ahli Parlimen Pekan sedang berdepan empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM2.27 bilion daripada 1MDB. -MalaysiaGazette