IPOH – Polis menahan dua lelaki tempatan melakukan cubaan bunuh ke atas seorang anggota polis yang sedang bertugas dalam satu kejadian di Kampung Gajah, semalam.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, ACP Ahmad Adnan Basri berkata, polis menerima aduan mengenai kejadian samun bersenjatakan parang pada 11.30 pagi semalam dan kes itu disiasat oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh.

Beliau berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Ipoh telah berjaya mengesan dan mengekori suspek dari Ipoh menghala ke Kampung Gajah.

“Sampai di Kampung Gajah, kedua-dua suspek berusia 28 dan 31 tahun menyedari kehadiran pihak polis telah memecut kenderaan jenis Perodua Myvi yang dinaiki suspek sehingga dapat ditahan berhampiran sebuah masjid di Labu Kubong.

“Semasa proses tangkapan dilakukan, suspek telah membuat pusingan U secara tiba-tiba dan mengundurkan kenderaannya sehingga melanggar hadapan kenderaan polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Adnan berkata, pihak polis kemudiannya keluar dari kenderaan dan seorang daripada anggota polis cuba membuka pintu belakang kenderaan yang dinaiki suspek untuk melakukan tangkapan terhadap suspek yang duduk di bahagian belakang.

Bagaimanapun katanya, langkah itu gagal kerana suspek yang membawa kenderaan tersebut mengundur secara berbahaya sehingga menyeret seorang anggota menyebabkan pihak polis terpaksa melepaskan satu das tembakan ke arah hadapan cermin kenderaan yang dinaiki suspek untuk mempertahankan diri.

“Suspek terus memandu motokar secara mengundur sehingga dihalang oleh sebuah kenderaan lain. Semasa dihalang, penumpang di bahagian belakang telah keluar dan cuba melarikan diri namun berjaya ditahan oleh pihak polis.

“Setelah itu, seorang lagi suspek yang memandu motokar tersebut telah membawa kenderaan ke hadapan dan berundur ke belakang beberapa kali serta berjaya melarikan diri, namun berjaya ditahan semula oleh pihak polis di Kampung Rapat, Ipoh,” katanya.

Ahmad Adnan berkata, anggota polis terbabit tidak mengalami kecederaan manakala suspek yang memandu kenderaan itu mengalami luka di bahagian bahu sebelah kanan akibat terkena tembakan dan dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh.

Beliau berkata, hasil semakan mendapati pemandu kenderaan mempunyai 24 rekod jenayah lampau manakala seorang lagi memiliki 11 rekod lampau, manakala polis turut menemukan paket disyaki dadah jenis heroin serta peralatan dipercayai digunakan dalam kejadian samun semasa tangkapan dilakukan.

Katanya kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 39 Akta Senjata 1960. – Bernama