Kru sebuah kapal kargo yang bersauh tanpa kebenaran di perairan negara ditahan Maritim semalam. Ihsan Maritim Selangor

PELABUHAN KLANG – Sebuah kapal kargo ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor malam tadi selepas berlabuh tanpa kebenaran di perairan Tanjung Karang.

Kapal tersebut ditahan pada kedudukan 24 batu nautika barat daya Sungai Burung, Tanjung Karang, di sini, pada jam 6.50 malam.

Timbalan Pengarah Operasi Maritim Negeri Selangor, Komander Maritim Mohd Sharenliza Ghazali berkata, penahanan itu adalah hasil maklumat Area Control Centre (ACC) SWASLA Klang yang mengesan kedudukan kapal yang mencurigakan kira-kira jam 9.50 pagi semalam.

“Pihak Jabatan Laut Wilayah Tengah (JLWT) memaklumkan, kapal kargo itu tidak mempunyai kebenaran bersauh daripada Ketua Pengarah Jabatan Laut Malaysia.

“Kapal Maritim Malaysia diatur gerak ke lokasi seterusnya menahan kapal kargo yang tertera tanda nama TRANSAMERICA pada badan kapal,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, kapal itu difahamkan belayar dari Mesir menuju ke Singapura bersama 23 kru lelaki termasuk nakhoda berusia antara 23 hingga 58 tahun.

Pemeriksaan lanjut mendapati, terdapat warga Rusia dan Ukraine yang mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah, ujarnya.

“Nakhoda kapal gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh dan disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 491B (1)(l) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana berlabuh tanpa kebenaran dari Ketua Pengarah Jabatan Laut Malaysia.

“Jika disabitkan kesalahan, boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali,” jelasnya.

Menurut Mohd Sharenliza, perintah penahanan kapal tersebut telah dikeluarkan dan kepten serta seorang kru dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Selangor untuk siasatan lanjut. – MalaysiaGazette