Saifuddin Nasution Ismail. Foto WAN NABIL NASIR, 23 OKTOBER 2023.

KUALA LUMPUR – Larangan laungan takbir pada perhimpunan aman ‘Freedom for Palestine’ di Dataran Merdeka, Ahad lalu mendapat perhatian di Dewan Rakyat.

Dalam sesi pertanyaan-pertanyaan menteri (MQT), Menteri Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, larangan yang dilaksanakan itu berdasarkan kepada budi bicara dan kefahaman penganjur program berkenaan.

“Soal dibenarkan atau tidak dibenarkan, takbir dan sebagainya saya tidak fikir itu isu utamanya. Saya Muslim, takbir maknanya melaungkan kebesaran Allah, tidak ada khilaf antara kita.

“Halnya adalah bagaimana penganjur itu mengikut budi bicara itu dan kefahaman mereka. (Ahli Parlimen) Machang boleh anjurkan 10,000 hingga 20,000 peserta esok, takbirlah kalau saya ada masa, saya akan ikut serta, dan saya akan takbir sekuat-kuatnya,” jawab Saifuddin Nasution di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan pertama MQT daripada Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) yang ingin kerajaan memperincikan adakah Kerajaan ada mengeluarkan garis panduan tentang perkara-perkara yang boleh diucapkan atau tidak boleh diucapkan dalam sesuatu demonstrasi aman.

Ahad lalu, penganjur perhimpunan aman ‘Freedom for Palestine’ di Dataran Merdeka iaitu Pengerusi Viva Palestina Malaysia (VPM), Datuk Dr Musa Mohd Nordin dikecam teruk apabila peserta-peserta yang hadir didakwa ditegah bertakbir dan larangan membawa plakad tertentu.

Ketika perhimpunan, segelintir peserta antaranya membawa plakad memaparkan wajah Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dengan slogan ‘Netanyahu Penjenayah Perang’.

Dalam pada itu, Jimmy Puah Wee Tse (PH-Terbau) turut mengutarakan soalan sama ada kerajaan akan memendekkan tempoh permohonan untuk perhimpunan daripada lima hari kepada dua hari.

Saifuddin Nasution menjelaskan, ia terpulang kepada budi bicara pihak penguatkuasa.

“Saya percaya polis akan gunakan kuasa budi bicara yang sesuai dengan keadaan masa sekarang yang diamalkan secara kes demi kes tidak sepanjang masa. Sekarang permohonan untuk mengadakan himpunan solidariti ini berlangsung dengan begitu banyak lagi,

“Saya rasa polis akan mengambil semangat itu untuk bantu dan bukannya untuk hentikan,” jawab Saifuddin Nasution.

Di bawah Seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman 2012, permohonan permit perhimpunan perlu dibuat sekurang-kurangnya lima hari sebelum tarikh ia diadakan dan kegagalan berbuat demikian adalah menyalahi undang-undang. – MalaysiaGazette