KUALA LUMPUR – Polis menahan 10,955 individu kerana terlibat dalam pelbagai kes dadah di ibu negara untuk tempoh sembilan bulan pertama tahun ini berbanding 10,614 orang untuk tempoh sama tahun lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, sepanjang tempoh tersebut pihaknya merampas dadah bernilai RM60 juta berbanding RM122 juta untuk jangka masa yang sama.
“Pada 19 Oktober lalu, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik KL juga berjaya menumpaskan sindiket dadah dengan melakukan rampasan dadah seberat 208 kilogram jenis syabu dengan membabitkan nilai keseluruhan RM7 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Ketua Polis Kuala Lumpur di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur (IPKKL), hari ini.
Menyentuh mengenai soal integriti pegawai dan anggota, Menurut Allaudeen, ia adalah disiplin dan kekuatan diri yang utuh sebagai cerminan watak dengan bertindak secara berhemah kepada kuasa dan tugas, tulus, tiada konflik serta mempunyai akauntabiliti tinggi.
Menurutnya, Bahagian Agama dan Kaunseling IPK Kuala Lumpur telah menerima warga polis bagi mendapatkan khidmat kaunseling berhubung isu yang dihadapi, antaranya isu kerjaya, keluarga, kesihatan, peribadi, psikologi, tatakelakuan, kewangan, dan penempatan.
“Sejumlah 1,001 sesi kaunseling telah diberikan melibatkan sebanyak 704 warga polis bagi tempoh Januari hingga September lalu yang mana kita perlu mengelakkan diri dari mengiatiqamahkan mereka yang mendapatkan khidmat nasihat dan kaunseling,” ujarnya. – MalaysiaGazette