Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR – Sebanyak 8.15 juta nombor telefon ‘dikitar semula’ sehingga ini, kata Menteri Komunikasi dan Digital, Ahmad Fahmi Fadzil.

Beliau berkata, berkata jumlah itu adalah daripada 49.4 juta nombor telefon yang aktif.

“Amalan mengguna semula nombor telefon lama dan tempoh kuarantin ini digunakan di negara-negara lain seperti di Amerika Syarikat di mana tempoh kuarantin selama 45 hari.

“Australia enam bulan, dan Singapura 90 hari,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Ahmad Fahmi menjawab soalan lisan yang diutarakan Rodziah Ismail (PH-Ampang) yang ingin tahu kemungkinan kerajaan menetapkan dasar membatalkan terus nombor kitar semula demi menjamin keselamatan dan ketenteraman pengguna pra-bayar dan pasca-bayar yang diberi nombor talian lama dikitar semula.

Rodziah berkata, terdapat gangguan malah intimidasi terhadap ruang privasi mereka kerana butiran pengguna lama kekal.

Jelas Ahmad Fahmi, tempoh kuarantin bagi nombor-nombor ini adalah selama enam bulan.

Dalam pada itu, Ahmad Fahmi berkata, biarpun telah dimasukkan dalam kuarantin untuk tempoh enam bulan, namun ia tidak dapat mengelak daripada kecurian data peribadi penggunanya.

“Walaupun langkah pengurangan masalah dan risiko telah dibuat, SKMM tidak dapat menegah bank-bank atau sebarang perkhidmatan daripada menyimpan data peribadi penggunanya untuk tempoh yang lama.

“Oleh itu, pengguna baharu harus cakna untuk menyekat nombor telefon dengan menggunakan fungsi sedia ada yang terdapat di dalam telefon mudah alih,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Fahmi berkata, setakat ini hanya 80 aduan diterima Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sejak 2021.

Daripada 49.4 juta nombor telefon yang berdaftar di negara ini, sejumlah 34.98 juta adalah pengguna pra-bayar dan 14.45 juta adalah pelanggan pasca-bayar. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast