Mayat wanita tanpa identiti ditemui terapung dalam kolam di Tasek Gelugor, Pulau Pinang semalam.

TASEK GELUGOR – Mayat wanita tanpa identiti ditemui dalam sebuah kolam berhampiran Pokok Machang, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner Mohd Asri Shafie berkata, mayat itu ditemui seorang lelaki yang melalui kawasan tersebut pada jam 6.50 petang sebelum menghubungi polis bagi memaklumkan kejadian.

Jelas beliau, bertindak atas maklumat, pegawai penyiasat bersama pasukan forensik bergegas ke lokasi untuk siasatan lanjut.

“Saksi yang menjumpai mayat berkenaan memaklumkan dia ternampak satu objek seperti bangkai dalam keadaan tertiarap namun apabila mendekati objek terbabit ia adalah badan manusia.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk proses bedah siasat.

“Mayat wanita itu kemudian dihantar ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk bedah siasat bagi mengetahui punca kematian.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut setakat ini sementara menunggu hasil bedah siasat,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Sehubungan itu, Mohd Asri menyeru orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kes ini menghubungi Pegawai Penyiasat Asisten Superintendan, Winston Anak Raip di talian 04 576 2222 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette