Datuk Allaudeen Abdul Majid.

KUALA LUMPUR – Pengurusan kondominium di ibu negara diingatkan agar memantau premis mereka bagi mengelak daripada pusat panggilan penipuan dalam talian.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Komisioner Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, dalam tempoh dua bulan terakhir, sebanyak 20 pusat panggilan sindiket penipuan dalam talian di sini diserbu.

Tambah beliau, serbuan tersebut membawa kepada penahanan 343 individu dan daripada jumlah itu 10 suspek telah didakwa di mahkamah.

“Kalau saya sebut nama kondominium-kondominium itu anda semua pasti akan terkejut dan semua kondominium mewah ini bertaburan di sekeliling KL dengan begitu banyak,” katanya selepas menyampaikan selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, hari ini.

Menurut Allaudeen,pihaknya akan melalukan pemeriksaan ke atas pengawal-pengawal keselamatan yang bertugas di kondominium kerana percaya terdapat dalam kalangan mereka yang bersekongkol dengan sindiket penipuan dalam talian.

Katanya, beliau telah mengarahkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil IPK KL untuk melipatandakan usaha membanteras sindiket pusat panggilan penipuan dalam talian sepenuhnya.

Sementara itu, Allaudeen memberitahu, sebanyak 1,311 serbuan membabitkan jenayah dalam talian dilakukan antara Januari hingga September dengan 855 individu ditahan dan 71 kertas siasatan dibuka. – MalaysiaGazette