GEORGE TOWN – Belanjawan 2024 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 13 Oktober lalu disifatkan mengimbangi tanggungjawab fiskal dan kelestarian ekonomi.

Pengarah Pusat Penyelidikan Dasar Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Dr Azeem Fazwan Ahmad Farouk berkata, ia kerana pelaksanaan subsidi bersasar oleh kerajaan adalah pengurusan fiskal yang lebih mampan untuk jangka masa panjang.

Menurut beliau, langkah itu juga merupakan strategi untuk menstruktur semula ekonomi dalam mendepani pelbagai cabaran terutamanya di peringkat antarabangsa.

“Pelaksanaan subsidi bersasar bukan saja dapat mengurangkan defisit fisikal kepada tahap yang baik malah mampu meningkatkan pendapatan kerajaan.

“Subsidi yang tidak mampan boleh memburukkan defisit bajet negara dan menjejaskan kestabilan ekonomi. Rejim subsidi menyeluruh atau pukal adalah tidak seimbang kerana setiap segmen masyarakat tanpa mengira latar belakang kewangan menikmati pemberian yang sama.

“Justeru, pemberian subsidi bersasar bertujuan melindungi golongan miskin berpendapatan rendah dan kumpulan terdedah sambil menyumbang kepada kestabilan serta pertumbuhan ekonomi Malaysia,” katanya di Pusat Penyelidikan Dasar USM di sini, hari ini.

Tambah beliau, rasionalisasi subsidi bertujuan untuk meningkatkan kecekapan dalam ekonomi dan membina semula ruang fiskal di samping meminimumkan risiko kejutan ekonomi.

“Pada pandangan saya, strategi subsidi bersasar bersifat adil kerana ia dikenakan kepada golongan berpendapatan tinggi yang sememangnya berkemampuan.

“Malah, kerajaan dikatakan berada di landasan yang betul demi memastikan kelestarian pada masa hadapan yang mana semua sedia maklum kita berhadapan dengan pelbagai cabaran terutama di peringkat global.

“Selain itu, peningkatan pendapatan negara sangat perlu bagi memastikan kerajaan dapat menampung dan menguruskan keperluan negara yang mengutamakan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli sebelum ini memaklumkan kerajaan akan melaksanakan sepenuhnya program subsidi bersasar mulai tahun depan.

Jangkaan itu mengambil kira tempoh percubaan Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) mulai bulan depan sebelum dibuka kepada orang ramai pada Januari 2024 untuk kegunaan pengesahan maklumat peribadi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast