Logo UPM

KUALA LUMPUR – Universiti Putra Malaysia (UPM) terus mempamerkan kecemerlangan dalam inovasi dan penyelidikan berjaya merangkul sembilan pingat emas, Outstanding Award, dua pingat perak dan satu gangsa di Malaysia Technology Expo – Sustainable Development Goals (MTE SDG) 2023.

MTE SDG 2023 telah diadakan di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) baru-baru ini secara dalam talian adalah pameran reka cipta dan inovasi berprestij antarabangsa yang turut menyediakan platform serta pasaran bagi inovasi terkini di peringkat global.

Timbalan Pengarah Putra Science Park (PSP), UPM, Prof. Madya Dr. Wan Nurhayati Wan Ab. Rahman berkata, melalui platform ini, para pereka cipta inovasi dapat mempamerkan hasil inovasi, idea dan inisiatif kepada pakar industri, penggubal dasar, pelabur dan rakan inovator di peringkat antarabangsa selain mencari peluang pengkomersilan yang dapat memberi manfaat kepada masyarakat.

“Penerimaan anugerah dan pengiktirafan oleh para penyelidik UPM akan terus menjadi pembakar semangat untuk meningkatkan usaha pembangunan teknologi dan inovasi yang lebih cemerlang bagi memastikan manfaatnya dapat dinikmati oleh industri, rakyat dan negara,” katanya.

Ketua Seksyen Promosi dan Pemasaran Inovasi, PSP, UPM, Asrizam Esam, berkata, UPM sangat komited dalam menghasilkan dan mengkomersilkan inovasi yang dapat memberi kebaikan kepada masyarakat dan negara serta mengalu-alukan kolaborasi daripada rakan industri bagi membawa hasil penyelidikan ke pasaran supaya manfaatnya dapat dikongsi dengan semua pihak yang disasarkan.

“Sehingga kini sebanyak 230 harta intelek yang telah berjaya dikomersilkan bersama rakan industri di dalam pelbagai sektor industri meliputi pertanian, alam sekitar dan sumber semula jadi, pertumbuhan ekonomi dan modal insan,” katanya.

Dalam pada itu, sembilan pingat emas yang diraih merupakan hasil dari komitmen dan dedikasi yang tinggi oleh barisan penyelidik dalam membangunkan inovasi terbaik iaitu teknologi PUTRA UAV 2.0 (PUTRA Unmanned Aerial Vehicle 2.0) oleh Prof. Ir. Ts. Dr. Mohamed Thariq Haji Hameed Sultan dari Fakulti Kejuruteraan, NET-PEAT: Estimation of Ground Water Level (GWL) for Tropical Peatland Forest Using Machine Learning oleh Prof. Ir. Dr. Aduwati Sali dari Fakulti Kejuruteraan, Ultra Low Speed Wind Turbine for Onshore Rural Area Usage oleh Prof. Ir. Dr. Kamarul Arifin Ahmad dari Fakulti Kejuruteraan dan Putra Amazing Agar oleh Prof. Dr. Syafinaz Amin Nordin dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan

Malaysian Natural Nutraceuticals for Arthritis Relief oleh Prof. Madya Dr. Maimunah Sanny dari Fakulti Sains dan Teknologi Makanan, Stabilized Electric Unicycle (Flexi-UC) oleh Dr. Muhammad Azim Azizi dari Fakulti Kejuruteraan, Try-Gonna Bee Apps: Ensuring Food Security through App-Guided Urban Beekeeping oleh Dr. Noris Mohd. Norowi dari Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, Malaysian Mahseer Hybrid (Tor tambroides X Barbonymus gonionotus) oleh Dr. Fadhil Syukri dari Fakulti Pertanian dan Standardized Paederia foetida oleh Dr. Nur Kartinee Kassim dari Fakulti Pertanian.

Pingat perak dirangkul oleh Prof. Ts. Dr. Rosnah Shamsudin, dan Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Zairul Mohd Noor manakala Prof. Ts. Dr. Zuriati Ahmad Zukarnain meraih pingat gangsa.

Selain itu, Anugerah Khas Outstanding Award Winner turut disandang oleh Prof. Ir. Ts. Dr. Mohamed Thariq Hameed Sultan melalui teknologi PUTRA UAV 2.0 iaitu inovasi gentian dron menggunakan serat daun nanas sebagai bahan utama yang menawarkan alternatif yang mampan dan mesra alam termasuk nisbah kekuatan terhadap berat yang tinggi dan integriti struktur standing dengan dengan bahan sintetik. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast