KUALA LUMPUR – Kreativiti serta kesepakatan sekumpulan remaja negara ini membina rangkaian peta sebagai solidariti terhadap Palestin di platform permainan maya, Roblox mendapat perhatian warga global di laman TikTok.
Kumpulan remaja berusia belasan tahun itu mengguakan platform tersebut untuk menzahirkan kepekaan mereka terhadap tragedi berdarah di bumi Gaza yang memasuki hari ke-17 dan telah mengorbankan lebih 6,000 nyawa.
Kebanyakan mangsa bedilan peluru tentera Zionis terdiri daripada kanak-kanak dan warga emas termasuk dalam tragedi pengeboman hospital di Gaza.
Komen-komen dalam kalangan warga maya antarabangsa memuji kreativiti dan kesedaran ‘budak-budak Roblox’ bagi meluahkan keprihatinan mereka terhadap kekejaman di bumi Gaza yang tidak berkesudahan sehingga kini.
Mereka turut berkongsi link untuk membolehkan remaja seluruh dunia menyertai solidariti secara maya di laman permainan itu.
Difahamkan Roblox telah mengharamkan istilah Palestin dan kumpulan remaja serta kanak-kanak kini menggunakan bendera Palestin bagi meneruskan perjuangan kecil mereka dalam protes terhadap rejim Zionis yang dilihat semakin tidak mempedulikan teriakan masyarakat antarabangsa.
Kalangan ibu bapa di Malaysia yang selama ini menyifatkan Roblox sebagai permainan membuang masa kini sedar bahawa platform tersebut berjaya menghimpunkan solidariti terhadap keamanan sejagat dan membuktikan anak-anak belasan tahun turut peka perkembangan semasa.
Cikgu Zyad yang membimbing kumpulan kanak-kanak itu menerusi ruangan komen memaklumkan room untuk peta Solidariti Palestin dengan nama Dataran Tanjung Mas bersiaran langsung setiap 5 petang. – MalaysiaGazette
VIDEO:
@malaysiagazette Dalam usaha menunjukkan solidariti terhadap Palestin, kanak-kanak dan remaja warga Malaysia telah menganjurkan perhimpunan secara maya dalam sebuah permainan video terkenal, Roblox. Video: cikguzyd #malaysiagazette #malaysiabersamapalestin #soladiritywithpalestine #gaza #roblox