Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) telah menolak tawaran pengantaraan AirAsia dalam satu surat yang dihantar oleh peguam pengendali lapangan terbang itu. 

KUALA LUMPUR – Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dan anak syarikat milik penuhnya, MAHB (Mauritius) Private Limited, dalam proses menjual keseluruhan 11 peratus kepentingan dalam GMR Hyderabad International Airport Limited, syarikat induk yang menguruskan Lapangan Terbang Antarabangsa Hyderabad di India kepada GMR Group pada harga AS$100 juta (AS$1=RM4.78).

Kumpulan pengendali lapangan terbang itu membeli kepentingan tersebut pada harga AS$10 juta daripada GMR Group pada 2009.

“Sejak pengambilalihan itu, kumpulan MAHB telah mengekalkan kepentingan minoriti pasif dalam usaha tersebut.

“Langkah penjualan itu adalah sebahagian daripada usaha MAHB bagi memperkemas portfolio pelaburannya di luar negara dan mewujudkan nilai daripada aset bukan teras, seiring dengan strategi pertumbuhan perniagaan antarabangsa kumpulan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hasil daripada penjualan itu akan disalurkan terus bagi tujuan korporat am dan perbelanjaan modal aset yang menyaksikan penglibatan kumpulan MAHB memegang kepentingan lebih langsung serta terkawal.

Malah, hasil itu dijangka dapat dimanfaatkan sepenuhnya dalam tempoh 12 bulan akan datang.

Syarikat itu menyifatkan pendekatan pelaburan semula strategik itu sebagai elemen penting dalam strategi pertumbuhan kumpulan, yang dapat mengoptimumkan portfolio pelaburan.

Ini juga dapat memperkukuh kawalannya dalam aset-aset teras, sekali gus boleh memberi nilai lebih besar dalam jangka panjang untuk kalangan pihak berkepentingannya, kata syarikat itu. – Bernama