KUALA LUMPUR – Permohonan pendakwaan untuk meminda tiga pertuduhan kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membabitkan Datuk Seri Najib Tun Razak dipersoal peguam bela yang mewakili bekas Perdana Menteri itu.
Peguam bela yang mengetuai pasukan Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, pindaan yang hendak dilakukan itu boleh dibuat pada 2018 namun telah mengambil masa lebih lima tahun.
Peguam bela yang mengetuai pasukan Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, lima tahun berlalu sedangkan pindaan yang hendak dilakukan itu boleh dibuat pada 2018.
Katanya, pendakwaan sedia maklum tentang perbezaan jumlah penyelewangan itu namun tidak melakukannya sehingga beberapa hari lepas.
“Sepatutnya pendakwaan membuat pindaan sebaik sahaja menyedari mengenai perbezaan jumlah itu.
“Saya tidak akan katakan ini telah dilakukan dengan sengaja tapi mengapa hanya duduk diam atas jumlah itu sejak lima tahun lepas?,” katanya di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah.
Najib berdepan empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM2.27 bilion daripada dana 1MDB.
Semalam Timbalan Pendakwa Raya, Kamal Baharin Omar memberitahu mahkamah bahawa pindaan itu dilakukan berikutan keterangan dua saksi baru-baru ini iaitu, penganalisis wang Bank Negara Malaysia (BNM), Adam Ariff Mohd Roslan dan pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Foo Wei Min.
Pindaan tersebut menjadikan jumlah penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) daripada RM2,282,937,678.41 (RM2.28 bilion) kepada RM2,277,577,613.41 (RM2.27 bilion).
Bagi pertuduhan salah guna kedudukan bagi mendapatkan suapan, pendakwaan memohon untuk meminda jumlah RM49,930,985.70 kepada RM44,570,920.70.
Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, jumlah yang hendak dipinda ialah daripada RM652,600,000 kepada RM515,666,277.51 (pertuduhan ke-10) manakala bagi pertuduhan ke-21, pindaan jumlah RM12,436,711.87 kepada RM11,411,646.34.
Kata Kamal Baharin, pihaknya memohon pemindaan itu mengikut Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan untuk meminda pertuduhan jenayah pada bila-bila masa semasa perbicaraan dan mahkamah mempunyai bidang kuasa untuk membenarkannya.
Berikutan itu, Collin bertanya kepada pasukan pembelaan bagaimana jumlah boleh menimbulkan prejudiskan kepada Najib sedangkan angka tersebut sudah dikurangkan sebelum ini.
Muhammad Shafee berkata, pihaknya akan menjadi kelam kabut berikutan pindaan ini.
“Bagaimana jika seseorang mencuri ayam tapi sebenarnya mencuri itik? Lebih baik pendakwaan daripada meminda jumlah itu, menarik sahaja tiga tuduhan itu atau kekalkan sahaja jumlah sebelum ini,” ujarnya.
Prosiding bersambung. – MalaysiaGazette