KUALA NERUS – Mengharungi kepayahan hidup akibat kemiskinan telah mendidik graduan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menjadi seorang yang cukup kental dalam menghadapi apa jua cabaran sehingga berjaya melangkah ke menara gading.
Apa yang jelas, Al Nasri Amil Hamja, 24, sangat aktif dan suka mencabar diri dalam apa jua peluang yang ‘terhidang’ dihadapannya samada bidang akademik mahupun kokurikulum.
Walaupun berdepan dengan pelbagai halangan untuk meneruskan pengajian, anak kelahiran Lahad Datu, Sabah berketurunan Bajau itu sentiasa positif dan menjadikan kesukaran hidup sebagai pengajaran yang membakar semangatnya untuk lebih berusaha dalam mengubah nasib diri dan keluarga.
“Keadaan kesihatan ayah terbatas sejak tahun 2015 dan tidak mampu melakukan sebarang kerja. Ibu hanya sebagai suri rumah untuk membesarkan kami sembilan beradik.
“Alhamdulillah, saya bersyukur walaupun pelbagai dugaan dan rintangan yang dilalui, akhirnya saya berjaya juga bergraduat sempena Majlis Konvokesyen UMT ke-21”
Graduan Sarjana Muda Perakaunan, Fakulti Pengajian Ekonomi dan Pembangunan Sosial (FPEPS) UMT itu sangat aktif sejak dari bangku sekolah sehingga ke dunia kampus.
“Saya melihat setiap peluang perlu direbut sebaik mungkin dalam apa jua bidang dan saya bergiat aktif semasa bersekolah di SMK AGASEH, Lahad Datu”
“Apa jua bidang kokurikulum, saya ceburi kerana pengalaman itu amat berharga sebagai pengajaran sebenar dalam kehidupan. Saya terlibat dengan Kor Sukarelawan Polis Siswa Siswi (SUKSIS), UMT, Ahli, Kelab Kebudayaan Sabah (KEMASIS), Ahli, Himpunan Siswas
Siswi Perakaunan (HISAAC), Ahli Kelab Sahabat Masjid, Pusat Islam Sultan Mahmud, UMT, Peserta Olahraga, Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) , Sukarelawan Covid-19 dan ahli jawatankuasa Kolej Kediaman, UMT,” katanya.
Berpegang prinsip bekerja sambilan sebagai ‘pelajaran’, Al Nasri mula melakukan kerja sejak tamat peperiksaan SPM.
“Hidup mesti diteruskan walaupun berdepan dengan cabaran kewangan. Kita perlu melihat sesuatu cabaran dalam pelbagai sudut supaya kita dapat lakukan sesuatu untuk mengatasinya.
“Saya sering berpesan kepada diri sendiri untuk sentiasa berusaha bersungguh-sungguh untuk terus maju ke hadapan serta tidak bergantung kepada orang lain.
Bagi Al Nasri, kehidupan adalah tempat untuk belajar, bekerja dan untuk menambah nilai diri. Semua perkara yang memberi manfaat kepada diri dan orang lain, terutamanya keluarga pasti dicubanya.
Antara pekerjaan sambilan yang dilakukan sepanjang pengajian di Universiti Malaysia Terengganu ialah sebagai pembantu kedai makan, krew penganjuran majlis, pekerja katering, pekerja kedai perabut, wakil jualan penapis air, pekerja sambilan hotel dan lain-
lain”
Tambahnya, masa yang ada tidak boleh dibazirkan dan ia perlu diurus sebaiknya bagi mencapai matlamat yang ditetapkan.
Kecemerlangan dalam bidang akademik dan kokurikulum membuktikan bahawa melakukan pelbagai kerja dan tugas ketika bergelar mahasiswa bukan suatu halangan untuk berjaya.
“Saya juga turut cemerlang dalam aktiviti ko-kurikulum dengan pencapaian terbaik apabila ditauliahkan sebagai Inspektor Kor SUKSIS”.
“Bagi saya, setiap pekerjaan sambilan yang dibuat dijadikan sebagai mata pelajaran tambahan yang memberikan ilmu yang tidak ternilai samaada untuk bidang pengajian saya iaitu perakaunan mahupun kehidupan sendiri.
Katanya, perjalanan hidup setiap orang berlainan dan corakkan kehidupan itu dengan warna-warni agar ia menjadi contoh teladan serta memberi kebahagiaan kepada diri dan keluarga. – MalaysiaGazette