Tan Sri Razarudin Husain

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa bersedia untuk menggerakkan anggota dan aset bagi menghadapi banjir, terutama pada Monsun Timur Laut (MTL).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, perancangan menghadapi monsun itu, yang diramal berlaku antara November 2023 hingga Mac 2024, akan dilakukan lebih awal pada tahun ini.

“PDRM telah mengenal pasti negeri-negeri berisiko tinggi seperti Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor dan Sarawak serta 5,648 kawasan hotspot banjir di 163 daerah di seluruh negara untuk memudahkan perancangan awal atur gerak penugasan dan pelan intervensi keselamatan, katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Razarudin, pihaknya bersedia sedia untuk menggerakkan 503 buah bot, 206 treler bot, 497 buah lori, 802 buah kereta pacuan empat roda, 17 ambulan dan van, 15 jet ski, 6,028 jaket keselamatan dan lapan pesawat, tertakluk kepada keperluan.

Tambah beliau, lima agensi kerajaan termasuk PDRM, Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) membabitkan 19,085 pegawai dan anggota kan ditugaskan untuk menghadapi MTL.

Sementara itu, Razarudin memberitahu, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA), Komisioner Datuk Seri Hazani Ghazali telah dilantik sebagai komander operasi bencana peringkat pusat untuk mengetuai operasi tersebut. – MalaysiaGazette