Gambar hiasan

KUALA LUMPUR –  Penurunan berterusan indeks harga pengguna serta langkah mengurangkan air tidak terhasil antara yang akan dibincangkan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman sesawang Parlimen, Onn Abu Bakar (PH-Batu Pahat) pada sesi soal jawab meminta Menteri Ekonomi menyatakan mengapa indeks harga pengguna telah menurun berterusan sehingga ke paras paling rendah iaitu dua peratus dan apakah kategori barangan serta perkhidmatan yang mempengaruhi angka itu.

Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu) pula bertanyakan kepada Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim mengenai langkah kerajaan bagi mengurangkan air tidak terhasil untuk negeri yang peratusnya lebih tinggi daripada purata nasional (37.2 peratus) seperti Kedah.

Selain itu, Khairil Nizam Khirudin (PN-Jerantut) mengutarakan soalan kepada Menteri Kerja Raya berhubung rancangan jangka masa pendek dan panjang kerajaan agar kesesakan lebuh raya seperti di Tol Bentong dan Tol Gombak dapat dikurangkan.

Khairil Nizam turut bertanyakan sekiranya kerajaan bersetuju lampu solar dipasang di lebuh raya yang tidak mempunyai lampu jalan.

Turut dijadualkan, Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi (PN-Kuala Kedah) meminta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan menjelaskan mengenai pelan tindakan meningkatkan sumber protein berasaskan hidupan laut yang menjadi keperluan rakyat dan strategi mapan bagi meningkatkan hasil pendapatan nelayan darat.

Usai sesi itu, persidangan akan menyambung sesi perbahasan Belanjawan 2024 yang memasuki minggu kedua selepas ia dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 13 Okt lepas.

Berdasarkan takwim Dewan Rakyat, Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 itu akan dibahas di peringkat dasar selama lapan hari, sebelum sesi jawapan oleh menteri selama empat hari bermula 30 Okt ini.

Ahli Parlimen akan mengambil bahagian dalam perbahasan rang undang-undang berkenaan di peringkat jawatankuasa selama 12 hari bermula 6 Nov ini.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 32 hari bermula 9 Okt hingga 30 Nov ini. – BERNAMA