Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri. Foto WAN NABIL NASIR, 17 OKTOBER 2023.

KUALA LUMPUR – Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak yamng memulakan operasinya pada 1 September lalu akan diperkukuhkan dengan kemasukan 166 pegawai yang akan dilantik.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Nancy Shukri berkata, kementerian telah mendapatkan kelulusan untuk menggaji jumlah pegawai tersebut bagi pengoperasian ke arah meningkatkan kecekapan, ketelusan dan akauntabiliti dalam memastikan perkhidmatan menyeluruh dan profesional dapat diberikan demi kesejahteraan kanak-kanak di negara ini.

“Pengoperasian Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak ini akan dilaksanakan secara berfasa. Di fasa awal ini, pengoperasian Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak akan diletakkan di bawah seliaan JKM mulai tahun 2023 sehingga tahun 2025,” katanya menjawab soalan lisan Datuk Seri Doris Anak Brodi (GPS-Sri Aman) di Dewan Rakyat hari ini.

Doris mahu tahu kerajaan mengatakan status terkini penubuhan Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak seperti yang diumumkan oleh Menteri Kewangan semasa pembentangan Belanjawan 2023.

Nancy sebelum ini berkata Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak ditubuhkan bagi menggantikan Bahagian Kanak-Kanak di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Penubuhan itu rata-ratanya merupakan solusi terbaik dalam menangani segera isu pengabaian dan penderaan kanak-kanak yang semakin meruncing.

Nancy turut berkata, jabatan itu akan diletakkan secara berasingan dan menjadi satu agensi baharu di bawah KPWKM bermula tahun 2026.

“KPWKM akan menyusul perkara ini dengan pihak-pihak berkaitan seperti JPA dan MOF serta meneliti keperluan pindaan atau penggubalan akta baru serta peraturan sedia ada yang berkuat kuasa,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast